fbpx
TASKA sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak kecil membesar dan dijaga.

Wajar saring psikologi pengasuh, guru taska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU penderaan kanak-kanak dan bayi di pusat asuhan atau taska terus mencetuskan kebimbangan masyarakat apabila kes demi kes dilaporkan.

Walaupun taska sepatutnya menjadi ruang selamat untuk anak kecil membesar dan dijaga, insiden kekerasan sama ada memukul, menggoncang, mengherdik atau mengabaikan menimbulkan persoalan besar tentang tahap pemantauan, latihan pengasuh serta ketegasan penguatkuasaan.

Baru-baru ini, kes di Alam Indah, Cheras mencetuskan kemarahan ramai apabila rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tular memaparkan bayi berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar.

Dalam situasi ini, ibu bapa bukan sahaja mahukan tindakan tegas, tetapi jawapan bagaimana ia boleh berlaku, dan apa langkah mencegahnya daripada berulang?

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad, pencetus paling kerap dalam kalangan pekerja atau pengasuh biasanya melibatkan tekanan, kurang sokongan dan kurang kemahiran kendiri.

Jelasnya, ia termasuk keletihan emosi (burnout) dan kelesuan empati (compassion fatigue) yang boleh menyebabkan individu cepat melenting serta hilang empati.

“Antara pencetus lazim adalah beban kerja tak realistik seperti nisbah pengasuh-bayi terlalu tinggi, selain stres peribadi seperti konflik rumah tangga, kewangan, tidur tak cukup dan masalah kesihatan mental yang tidak dirawat.

“Selain itu, kekurangan latihan serta SOP yang jelas, termasuk kemahiran menenangkan bayi (soothing), pengendalian selamat dan pengurusan tingkah laku tanpa kekerasan boleh meningkatkan risiko insiden,” katanya.

Dr. Fauziah menegaskan ‘hilang sabar sesaat’ tetap salah, namun biasanya disertai keinsafan dan tindakan membaiki keadaan.

“Jika ia insiden tunggal, individu biasanya rasa bersalah, segera berundur, minta bantuan dan ikut SOP.

“Tetapi corak penderaan berulang lazimnya berpola, berulang dalam situasi sama dan disertai rasionalisasi seperti ‘budak ni degil’ atau ‘biasa la tegas sikit’, sebelum ia semakin ‘escalate’,” jelasnya.

Dr. Fauziah juga berpandangan cadangan saringan psikologi untuk pengasuh atau guru taska, adalah wajar, namun bukan semata-mata pendekatan lulus atau gagal.

“Lebih tepat ialah saringan, sokongan, penempatan kerja yang sesuai. Tujuannya untuk kenal pasti risiko seperti impulsiviti tinggi, stres teruk, kemurungan atau isu kemarahan,” katanya.

Tegasnya, antara isyarat bahaya organisasi yang perlu diberi perhatian termasuk nisbah penjaga-bayi tidak munasabah, kadar keluar masuk staf tinggi, tiada audit atau ketelusan CCTV, SOP tidak jelas, tiada latihan berkala serta budaya tempat kerja yang menormalisasikan kekerasan.

Dr. Fauziah turut menolak tanggapan bahawa bayi kecil ‘tidak faham’ lalu tidak terkesan.

Katanya, trauma bayi bukan tentang faham cerita, tapi tentang sistem saraf yang merekod ancaman.

“Bayi belajar melalui sensasi dan pola iaitu sakit, terkejut, suara kuat, genggaman kasar atau dibiarkan menangis lama tanpa co-regulation,” katanya.

Beliau berkata, jika trauma berulang, risiko jangka panjang boleh melibatkan attachment tidak selamat, gangguan regulasi emosi, masalah tidur dan makan, serta dalam kes tertentu kelewatan perkembangan akibat persekitaran tidak selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN