AMPANG JAYA – Seorang lelaki yang berang kerana disyaki mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain tergamak memukul isterinya sendiri dalam satu kejadian di rumah mereka di Taman Kencana di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi sewaktu lelaki berusia 51 tahun dan isterinya yang berusia 40 tahun itu sedang bertengkar di dapur.
“Pertengkaran terjadi apabila wanita berkenaan mengesyaki suaminya itu mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dan susulan itu, si suami yang tidak bekerja sejak tiga tahun lalu itu terus bertindak menampar, memukul kepala, menolak serta memukul badan isterinya.
“Selepas kejadian, wanita yang bekerja sebagai juruteknik makmal itu terus keluar dari rumah dan pergi ke balai polis untuk membuat laporan polis. Dia juga telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, pasangan berkenaan sudah enam tahun berkahwin dan mempunyai dua orang anak perempuan masing-masing berusia 3 tahun dan dua bulan malah mereka juga menetap bersama ibu bapa si isteri.
“Susulan laporan yang diterima, kira-kira pukul 3.10 petang hari yang sama, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah pergi ke rumah berkenaan dan membuat tangkapan ke atas lelaki tersebut.
“Lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang rekod lampau selain negatif dadah dan dia kini direman sehingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga iaitu mendatangkan cedera dalam rumah tangga,” ujar beliau. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














