Gambar hiasan

Lagi polis berpesta dadah diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Dua pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicekup selepas dipercayai terlibat aktiviti berpesta dadah dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Taman Sentosa di sini kelmarin.

Difahamkan, keenam-enam mereka yang bertugas di dua buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini menjadi tali barut kepada tauke pusat hiburan berkenaan.

Rahsia enam penjawat awam itu terbongkar selepas Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menyerbu premis tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menurut sumber, dalam ope­rasi itu, seramai 66 individu berusia 17 hingga 45 tahun ditahan ketika leka berhibur di premis berkenaan.

“Semakan mendapati enam daripada pengunjung itu merupakan penjawat awam. Empat daripada mereka (penjawat awam) dipercayai positif dadah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sumber itu memberitahu, ujian air kencing yang dilakukan ke atas pengunjung termasuk warga asing mendapati 35 daripada mereka positif dadah.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan di sini untuk tindakan selanjutnya.

Dedah sumber itu, seorang pegawai yang ditahan pernah ditangkap selepas disyaki terlibat kes dadah pada tahun ini.

Siasatan turut mendapati pegawai yang berusia dalam lingku­ngan 30-an itu dikenakan tindakan mengikut dibawah Akta dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka mengadakan sidang akhbar berhubung operasi itu hari ini.

Kosmo! pada 21 Julai lalu me­laporkan seorang ketua balai polis dan tiga anggotanya ditangkap ketika berhibur di dalam sebuah bilik di balai polis dalam daerah Kajang, Selangor.

Ketika serbuan, terdapat empat wanita tempatan yang juga orang awam berusia 21 hingga 37 tahun bersama pegawai dan anggota di dalam bilik berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN