fbpx
TEKNIK menyalai daging menggunakan dapur khas selama 16 jam bagi mengekalkan kelembutan daging serta isinya lebih berair.

Daging salai juruterbang beri kelainan rasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPASA diberi cuti tanpa gaji, juruterbang AirAsia, Azrin Hafiz Ab. Rahman buntu pada mulanya, tetapi akhirnya nekad membuka perniagaan daging salai bersama seorang rakan bagi menampung komitmen bulanannya.

Istimewanya resipi daging salai yang diusahakannya itu lain daripada lain kerana ia diasap di dalam dapur khas selama 16 jam yang melembutkan daging, membuat rasanya lebih sedap.

Dia menggunakan bara daripada kayu pokok rambutan dan getah bagi mengeluarkan asap yang lebih wangi. Dia menggunakan daging dari Argentina yang mana teksturnya lebih lembut.

————————————————————————————————————————————————————————————————————-BERMULA akhir tahun lalu, kehidupan pemuda berusia 36 tahun itu mula terjejas ekoran penularan pandemik global Covid-19.

Azrin Hafiz Ab. Rahman yang bekerja selama lebih sedekad sebagai juruterbang syarikat tambang murah negara, AirAsia telah diberi cuti tanpa gaji.

Ia selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap sektor penerbangan berkurangan.

Sepanjang PKP 2.0, orang ramai dila­rang merentas daerah atau negeri dan hanya terhad kepada tujuan tertentu sahaja dalam usaha memutuskan rantaian virus dalam kalangan masyarakat.

Disebabkan itu, Azrin Hafiz terpaksa mencari kerja sampingan seperti penghantaran barang bagi menampung per­belanjaan serta komitmen bulanannya.

Pada masa sama, Azrin Hafiz bersama seorang rakannya yang juga bekas juruterbang AirAsia X, Mohd. Fauzi Khalid, 40, sepakat membuka perniagaan makanan dari rumah menerusi jenama Asap Brisket.

“Saya mengusahakan perniagaan ini sejak empat bulan lalu bersama seorang rakan. Idea membuka perniagaan ini tercetus selepas masing-masing terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kami yakin perniagaan berasaskan makanan merupakan jalan terbaik bagi menjana pendapatan sepanjang tempoh PKP ketika ini,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Mula beroperasi sejak empat bulan lalu, Asap Brisket menawarkan sajian utama berupa daging lembu diperap bersama resipi tersendiri sebelum disalai.

SET fly meat up, menu daging salai bersama ayam chicken chop dengan sos barbeku dan hidangan sampingan pasti memikat selera sesiapa sahaja.

Azrin Hafiz berkata, dia menampilkan kelainan dengan menyalai daging menerusi dapur khas menggunakan teknik asap selama 16 jam.

Jelasnya, teknik asap secara perlahan tersebut berbeza dengan cara pembakaran normal kerana ia mampu mengekalkan kelembutan daging serta isinya lebih berair.

“Teknik ini mengambil masa lama kerana bara kayu diletakkan di sekeli­ling daging dan bukannya pada bahagian bawah seperti kebiasaan. Daging dimasak melalui asap yang terhasil.

“Jadi, tidak hairanlah ia mengambil masa lama untuk dimasak. Daging terhasil mempunyai haruman smoky (asap) yang kuat seperti kaedah salai yang ­popular di Negeri Sembilan.

“Kami hanya menggunakan bara daripada kayu pokok rambutan dan getah memandangkan ia mengeluarkan asap lebih wangi serta memberi rasa manis pada daging,” ujarnya lagi.

Menariknya, pihaknya memilih menggunakan daging import jenis Argentina beef yang diperoleh daripada pembekal tempatan kerana teksturnya lebih lembut dan sesuai untuk disalai.

Mengulas mengenai resipi daging salai tersebut, Azrin Hafiz memaklumkan, ia diperoleh daripada seorang rakannya sewaktu menetap di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

“Dahulu, saya sempat bekerja sebagai juruterbang sebuah syarikat penerba­ngan di Dubai. Ketika menetap di sana, saya ada belajar resipi ini daripada seorang rakan,” ujarnya.

Asap Brisket menawarkan lima set menu berasaskan daging salai kepada pelanggan iaitu meat me up, single ­plater, fly meat up, margot robbie dan mary had a little lamb.

AZRIN HAFIZ (kanan) bersama seorang rakan menunjukkan salah satu menu daging salai yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Tegasnya, set paling laris di Asap Brisket adalah meat me up yang menampilkan daging dan kambing salai yang dihidangkan bersama coleslaw, kentang putar, roti tortila serta kacang panggang bersos.

“Bagi peminat daging kambing, mereka harus cuba set menu mary had a ­little lamb.

“Ia didatangkan bersama 100 gram ­daging kambing disalai bersama dua hidangan sampingan coleslaw dan kentang putar.

“Mereka yang bukan penggemar ­daging boleh cuba set menu fly meat up yang dilengkapi dua ketul ayam chicken chop ­bersama hidangan sampingan. Setiap set menu hadir bersama sos barbeku yang dihasilkan sendiri,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat membuat pesanan set menu perlu membuat tempahan menerusi aplikasi WhatsApp sehari lebih awal, memandangkan pro­ses penyediaan daging salai sangat lama.

Set menu ditempah akan dihantar terus ke rumah atau pejabat pelanggan menggunakan syarikat penyedia penghantaran bermula dari pukul 1 hingga 4 petang. Caj penghantaran adalah berbeza mengikut jarak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN