fbpx
IMBASAN sinar X juga tidak berjaya mengesan sebarang ketidaknormalan pada tubuh bekas pesakit Covid-19 yang masih merasai gejala-gejala Covid-19 selepas negatif. Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

‘Misteri’ Long Covid selepas sembuh jangkitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menurut Yong, bekas pesakit Covid-19, gejala Long Covid yang dialaminya setelah pulang ke rumah meliputi sakit otot, mudah penat, sering lesu dan tidak bermaya untuk bercakap.

Dedah Yong, walaupun baru berjalan sejauh 10 meter, dia sudah terasa penat. Malah, dia mengambil masa hampir 15 minit untuk berjalan masuk ke biliknya di tingkat dua rumah.

“Saya tidak bermaya. Paling teruk apabila untuk bercakap di telefon bimbit pun saya tidak larat,” ujarnya.

Menurut doktor, gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis setakat ini.

“Sekepas sah menghidap Covid-19 pada 18 Januari lalu, saya berasa sejuk ketika tidur pada waktu malam.

“Sebelum ini, saya tidak pernah rasa sejuk sedemikian ketika tidur,” kata bekas pesakit Covid-19 yang hanya mahu dikenali sebagai Yong kala mengimbas saat permulaan dirinya menghidapi penyakit itu.

Bercerita kepada K2, Yong pada awalnya hanya menjalankan kuarantin kendiri di rumah. Tetapi beberapa hari kemudian, dia berasa mudah penat seperti kekurangan oksigen di dalam badan.

“Saya kemudian pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ketika di hospital, kandungan oksigen dalam badan saya telah berkurang.

“Saya juga telah diarahkan untuk tidur dengan posisi meniarap bagi memudahkan pernafasan,” kongsinya.

Bagaimanapun, kondisi keadaan Yong semakin buruk dan dia telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dia disahkan berada pada tahap lima yang memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU) melibatkan penggunaan mesin bantuan pernafasan (ventilator).

Pada waktu itu, Yong menjelaskan, keluarganya juga telah dipesan untuk melakukan persiapan bagi sebarang kemungkinan.

Namun, umurnya masih panjang dan selepas hampir lima hari di ICU, Yong dipindahkan ke wad biasa kerana keadaannya bertambah baik.

“Pun begitu, ketika di wad biasa, suara saya hilang, otot terasa sakit dan diri terasa lesu.

“Setelah disahkan telah pulih daripada jangkitan Covid-19, saya kemudian telah pergi ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan susulan kerana masih mengalami simptom-simptom Covid-19 terutamanya rasa mudah penat serta susah tidur,” jelasnya.

Semasa menjalani rawatan susulan, Yong didapati berdepan Sindrom Post-Covid (Pasca-Covid) atau dikenali sebagai Long Covid.

Terang Yong, gejala-gejala Long Covid yang dialaminya setelah pulang ke rumah meliputi sakit pada bahagian otot, mudah berasa penat, sering lesu dan tidak bermaya untuk bercakap.

Dedah Yong, walaupun baru berjalan sejauh 10 meter, dia sudah terasa penat. Malah, dia mengambil masa hampir 15 minit untuk berjalan masuk ke biliknya di tingkat dua di rumah.

“Saya rasa cukup tidak bermaya. Paling teruk apabila untuk bercakap di telefon bimbit pun saya tidak larat. Saya tidak boleh bercakap lama,” ujarnya.

DR. ROSMADI

Dalam pada itu, pada 18 Disember tahun lalu, The National Institute for Health and Care Excellence (NICE) United Kingdom mengeluarkan satu garis panduan mengenai Long Covid atau Sindrom Post-Covid itu.

Sindrom itu adalah suatu keadaan yang mana bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala-gejala walaupun telah negatif Covid-19.

Gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif. Keadaan ini cuma dikatakan berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi organ dalam tubuh badan seseorang individu.

Dalam pada itu, Perunding Pulmonologi Intervensi di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Rosmadi Ismail menjelaskan, Long Covid adalah keadaan di mana pesakit masih berdepan simptom Covid-19 selepas jangkitan.

“Pesakit telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dia tidak akan menjangkiti orang lain.

“Tetapi, selepas pulih daripada jangkitan itu, sesetengah pesakit berdepan dengan Long Covid di mana mereka masih merasai simptom-simptom Covid-19,” terangnya.

Tambahnya, sebenarnya terdapat banyak simptom Long Covid ini dan bukan sekadar hilang deria bau sebagaimana yang popular, bahkan pesakit boleh mengalami masalah lain pada keseluruhan badan seperti hilang fokus, keresahan, depresi, kurang tenaga, kesukaran bernafas, sukar untuk tidur dan lain-lain lagi.

“Long Covid ini boleh berlaku kepada semua kategori Covid-19.

“Bagi pesakit yang berada dalam kategori empat atau lima sehingga menyebabkan paru-paru berparut atau mengeras, ia boleh menyebabkan mereka mengalami masalah batuk walaupun telah bebas daripada jangkitan Covid-19,” jelas Rosmadi.

Tambahnya, Long Covid lebih kepada kesan daripada penyakit Covid-19 dan setakat ini belum diketahui kenapa hal sebegitu boleh terjadi.

“Buat masa ini, belum dapat dipastikan lagi jika terdapat bahan-bahan kimia yang menyebabkan fisiologi badan berubah akibat kesan jangkitan Covid-19. Selain itu, sehingga kini juga masih belum ada ubat spesifik untuk masalah Long Covid,” katanya.

Rosmadi menegaskan, masalah Long Covid ini boleh berlanjutan berbulan-bulan lamanya.

“Kebiasaannya pesakit Covid-19 mengambil masa sekitar tiga bulan untuk proses pemulihan. Tetapi ada juga yang mengambil masa lebih daripada tiga bulan untuk proses pemulihan.

“Ada pesakit lepas tiga bulan badannya masih lemah dan lesu, susah untuk bernafas, sakit pada bahagian sendi dan lain-lain lagi tetapi apabila kita melakukan pemeriksaan misalnya dengan membuat imbasan sinar X, ia tidak menunjukkan sebarang masalah,” terangnya.

PESAKIT-PESAKIT Covid-19 perlu menjalani rawatan sebaik mungkin bagi memastikan mereka terhindar Sindrom Pasca-Covid.

Akuinya, banyak pesakitnya yang sudah pulih daripada jangkitan Covid-19 dan berdepan masalah Long Covid ini mengalami masalah untuk tidur.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan akhbar berkata, secara amnya, data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat segelintir yang terkesan dengannya dan mengalami Sindrom Post-Covid atau Long Covid.

“Menurut kajian klinikal yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melibatkan 1,004 pesakit daripada kategori empat dan lima yang menerima rawatan susulan didapati 66 peratus daripada pesakit ini mengalami Sindrom Post-Covid.

“Antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit Covid-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan,” katanya.

Menurutnya buat masa ini rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat.

Tambahnya, rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal optimum.

SEBANYAK 66 peratus bekas pesakit Covid-19 tahap empat dan lima mengalami Long Covid. – GAMBAR HIASAN

“Kajian klinikal akan terus dijalankan bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post-Covid dan ia akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, pesakit-pesakit Covid-19 yang sudah keluar dari hospital akan diberikan janji temu rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

“Bagi bekas pesakit Covid-19 yang masih mempunyai gejala dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran. Ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit Covid-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang,” terangnya.

Justeru, adalah amat penting untuk semua orang melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 kerana kesannya boleh berpanjangan dan mengurangkan kualiti hidup serta produktiviti individu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN