fbpx
AZMAH merasakan tidak lengkap hidangan hariannya tanpa asam rong.

Juadah pembuka selera asam rong Jerantut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Buah-buahan hutan yang tumbuh di Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling sememangnya tidak asing bagi penduduk sekitarnya di Jerantut, Pahang.

Siapa sangka, tumbuhan yang asalnya hanya menjadi selera haiwan liar kerana rasanya pahit, kelat dan boleh memabukkan itu telah menjadi juadah menyelerakan masyarakat di situ sejak sekian lama.

Antara buah hutan yang lazimnya dijadikan makanan ialah buah perah, kepayang, kedondong, ara, mencepu, kerdas dan ubi gadong.

Berbicara mengenai buah perah, ia amat berkait rapat dengan makanan harian tradisional asam rong. Buah perah atau nama saintifiknya Elateriospermum tapos banyak didapati di kawasan hutan Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

 

Buah-buahan dan herba hutan yang tumbuh di Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling sememangnya tidak asing bagi penduduk di pedalaman Hulu Tembeling dan Tembeling Tengah, Jerantut, Pahang.

Siapa sangka, tumbuhan-tumbuhan yang asalnya hanya menjadi selera haiwan liar kerana rasanya pahit, kelat dan boleh memabukkan itu telah menjadi juadah yang menyelerakan masyarakat di situ sejak sekian lama.

Kemahiran penduduk pedalaman tersebut memproses secara tradisional untuk menghilangkan kesan sampingan pada buah-buah hutan itu telah mentransformasikannya menjadi menu enak harian yang tidak menimbulkan komplikasi kesihatan.

Antara buah hutan yang lazimnya dijadikan makanan kegemaran penduduk daerah itu ialah buah perah, kepayang, kedondong, ara, mencepu, kerdas dan ubi gadong.

Berbicara mengenai buah perah, ia amat berkait rapat dengan makanan harian tradisional asam rong. Buah perah atau nama saintifiknya Elateriospermum tapos banyak didapati di kawasan hutan Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling.

Menu masakan asam rong secara tradisionalnya dibuat daripada buah perah menerusi bijinya. Namun, seiring masa, asam rong turut diperbuat daripada biji getah kerana memiliki banyak persamaan.

Pokok perah mengeluarkan buahnya semusim dengan pokok getah. Seperti buah getah, biji perah diperoleh apabila ‘letupan’ berlaku pada buahnya yang matang dan bijinya itu gugur ke tanah.

Bermula dari sekitar Sungai Tembeling di Jerantut, cita rasa asam rong kemudian meluas ke serata negeri Pahang.

ZULKEFLI menunjukkan rupa buah perah yang masih muda.

Asam rong boleh dicecah bersama ulam-ulaman atau dimasukkan ke dalam masakan-masakan tertentu berasaskan ikan-ikan air tawar yang sinonim dengan negeri Pahang.

Penduduk Kampung Kuala Sat di Hulu Tembeling, Zulkefli Jamaluddin, 52, menjelaskan, asam rong menjadi antara menu pilihan masyarakat di negeri ini.

“Asam rong dihasilkan daripada isi yang terdapat di dalam biji buah perah atau biji getah.

“Selain dinikmati ringkas bersama ulam-ulaman, asam rong juga boleh dimasak atau dicampur bersama ikan-ikan air tawar Sungai Tembeling iaitu patin, kenerak, jengkua dan beberapa spesies lain untuk dijadikan hidangan yang cukup lazat dan menyelerakan,” katanya kepada Panorama.

Tambahnya, dalam kalangan penduduk Hulu Tembeling, biji perah yang dijeruk dan ditumbuk menjadi asam rong itu menjadi makanan harian keluarga, menu wajib berbuka puasa selain dihidangkan kepada tetamu yang bertandang ke rumah.

Zulkefli menerangkan, buah perah muda berwarna kelabu dan bertompok kemerahan, manakala bijinya berwarna putih. Setelah bijinya dijeruk akan berwarna kehitaman atau coklat tua seperti biji getah.

Zulkefli berpendapat, ramai dalam kalangan generasi hari ini kurang mengetahui cara memproses perah kerana kerja pemprosesannya yang agak rumit.

Jelas Zulkefli, sekiranya tidak mengikut aturan proses yang betul, kesan mabuk perah dirasai serta meloyakan seseorang selepas memakannya.

Terangnya, perah tidak sesuai untuk dimakan begitu sahaja. Bahkan, menurut cerita rakyat negeri Pahang, Sang Kelembai yang mempunyai kuasa dan kekuatan luar biasa pun menjadi lemah dan ‘mabuk’ apabila termakan buah perah mentah.

“Orang-orang tua di sini sejak zaman dahulu mahir memproses perah bagi menghilangkan getahnya (dipercayai elemen yang memberi kesan memabukkan) menerusi kaedah tradisional meliputi rendaman, jemur dan penjerukan.

BIJI buah perah yang telah mengalami proses penjerukan berwarna kehitaman seperti biji getah.

Menurutnya, bagi menghilangkan getahnya, biji perah yang gugur ke tanah diambil lalu direndam di dalam air selama kira-kira dua minggu. Kongsinya, masyarakat dahulu bahkan merendamnya dalam air sungai.

Setelah direndam, ia dijemur sehingga benar-benar kering sebelum diperam menerusi proses penjerukan dalam tempoh tertentu.

“Biji perah akan dimasukkan ke dalam tempayan serta dicampur dengan garam dan asam gelugur untuk melalui proses penjerukan.

“Cara menjeruk ini menjadikannya lebih selamat dimakan. Daripada bijinya berwarna putih, selepas dijeruk warnanya bertukar kehitaman. Apabila dikunyah rasanya rangup dan sedap seperti kacang rebus,” katanya.

Kemudian tambah Zulkefli, barulah biji perah tadi ditumbuk dan dicampur ramuan-ramuan tertentu untuk dicecah umpama sambal belacan bersama ulam atau dimasukkan ke dalam sajian lain.

Zulkefli yang turut melakukan pemprosesan rumit itu berkata, perah yang siap menjadi jeruk dijadikan makanan hariannya, manakala selebihnya dijual di pekan sehari dan pasar tani.

Tinjauan Panorama di pasar tani dan pekan sehari Bandar Jerantut, perah yang siap dijeruk dijual antara RM4 hingga RM6 selonggok laris dengan cepat berbanding buah lain.

Selain masakan asam rong perah, asam rong daripada isi biji getah juga popular dalam kalangan masyarakat pedalaman daerah ini.

AZMAH menikmati asam rong dengan ulam-ulaman.

Penduduk Kuala Tahan, Azmah Kamaruddin, 38, berkata, tanpa asam rong seleranya bagai tidak terbuka dalam menikmati hidangan.

“Bagi kami di sini, sekiranya tidak ada asam rong, selera tidak menjadi. Maka, asam ronglah sebagai penambat selera pada waktu makan tengah hari atau malam, kenduri-kendara dan waktu berbuka puasa di bulan Ramadan.

“Ada asam rong, ikan sungai dan ulam-ulaman pun memadai, lebih-lebih lagi tekanan perbelanjaan ketika berdepan kenaikan harga barang dan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan penduduk Hulu Tembeling memilih makanan tempatan yang mudah didapati di sini,” katanya.

Azmah yang mewarisi masakan berasaskan asam rong daripada ibunya berkata, rasa asam rong dilengkapkan dengan mencampurkannya bersama cili, ikan bilis, garam dan sedikit daun kesing.

Katanya, campuran itu ditumbuk sehingga lumat dan sebati dengan teksturnya kelihatan seperti lempeng yang nipis.

“Kepingan asam rong yang bercampur bahan berkenaan kemudian dibakar dengan api secara perlahan sehingga masak,” katanya.

ASAM rong juga boleh ditambah ke dalam masakan lain seperti menu asam rong ikan kenerak ini.

Azmah menjelaskan juadah yang serba ringkas ini boleh dimakan bersama ulam-ulaman seperti pucuk betik, pucuk beboli, putik buah ara, isi temu dan tumbuhan liar tertentu.

“Tidak terungkap lagi dengan kata-kata, begitu berselera sekali menjamah juadah asam rong.

“Asam rong tadi juga boleh dicampur dengan masakan berkuah berasaskan ikan-ikan Sungai Tembeling.

“Bagi saya, rasanya lebih menyelerakan jika dimasak dengan lebih pedas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN