SEBERANG PERAI – Empat remaja lelaki yang terlibat dalam kegiatan geng rempit ditahan polis selepas didapati menunggang secara melulu di Jalan Lahar Kepar, Penaga, Kepala Batas di sini semalam.
Mereka yang berusia di antara 13 hingga 16 tahun itu ditahan dalam operasi oleh pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 6.50 petang.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya yang melakukan Op Samseng Jalanan telah mengesan empat buah motosikal ditunggangi empat lelaki disyaki sedang berlumba.
“Mereka membuat aksi wheelie atau mengangkat tayar hadapan bermula dari arah Penaga menghala ke Lahar Kepar sebanyak satu pusingan.
“Kesemua mereka ditahan di tepi jalan dan siasatan mendapati seorang tangkapan berusia 13 dan dua berusia 16 tahun masih bersekolah, manakala seorang lagi berusia 14 tahun tidak bersekolah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Noorzainy menyeru orang ramai tidak menjadikan jalan raya sebagai litar lumba kerana boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan risiko kepada pengguna jalan raya lain.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














