APABILA bercakap tentang buaya, pasti terbayang di fikiran kita kisah kebuasan reptilia tersebut membaham manusia tanpa belas kasihan terutamanya di sungai-sungai di negeri Sarawak.
Namun, lain ceritanya yang dialami seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah, 70, yang menetap di sebuah kampung di Alor Setar, Kedah.
Dia mendakwa, datuknya mempunyai ilmu menjinakkan buaya hingga haiwan itu mengikut apa sahaja arahan diberikan kira-kira 60 tahun lalu.
Menurutnya, sewaktu kecil, keluarga mereka sering menikmati hidangan udang galah hasil tangkapan datuknya di sungai berhampiran.
Jelasnya, setiap kali datuknya ke sungai, hasil udang galah yang dibawa pulang pasti tidak mengecewakan.
Ibunya, kata Pak Ngah, pernah bercerita ketika dia masih kecil, sebaik sahaja permukaan air ditepuk sebanyak tiga kali, buaya-buaya yang ada di kawasan sekitar akan timbul.
“Kemudiaan datuk akan turun menyelam ke sungai untuk menangkap udang galah,” ujarnya.
Kebiasaannya habitat udang galah di sungai sering dikaitkan dengan kawasan buaya bersarang.
Katanya, pada mulanya dia tidak mempercayai datuknya mempunyai ilmu untuk menjinakkan buaya kerana beberapa kali dia menyatakan hasrat untuk mengikut menangkap udang galah, namun tidak dibenarkan.
Namun pada suatu hari, tanpa disangka-sangka datuknya membenarkan dia untuk mengikutinya ke sungai.
Sepanjang perjalanan menuju ke sungai, datuknya menceritakan bahawa dia pernah menuntut ilmu dengan seseorang untuk menjinakkan buaya sewaktu usia muda.
Malahan ada seekor buaya di sungai itu adalah sahabatnya dan amat jinak sekali.
“Sewaktu kami menaiki sampan, saya perasan dia membaca sepotong ayat yang saya sendiri tidak fahami dan kemudian dia mendayungnya perlahan-lahan.
“Tidak berapa lama selepas itu, di bahagian belakang sampan saya melihat ada seekor buaya seakan-akan menolak sampan yang kami naiki itu dengan badannya,” jelasnya.
Datuknya menyatakan kepadanya supaya jangan takut kerana buaya itu adalah sahabatnya.

Sejak itu, Pak Ngah mula percaya datuknya mempunyai kemampuan luar biasa dalam menundukkan reptilia ganas itu.
Sepanjang membesar di situ, dia tidak pernah mendengar khabar bahawa ada orang yang pernah menjadi mangsa buaya di sungai tersebut
Dalam pada itu, Pak Ngah juga menjelaskan, dia pernah melihat bagaimana ibunya menghulurkan tangan ke dalam mulut buaya yang dikatakan bersahabat dengan datuknya selepas haiwan itu ‘dipanggil’ ke tebing sungai.
Dengan hanya membaca sepotong ayat, datuknya mengocak air di tepi sungai sebagai syarat sebelum buaya itu timbul ke permukaan dan menghampiri tebing.
“Kemudian, datuk seakan berkomunikasi dengan buaya tersebut sebelum haiwan itu membuka mulutnya.
“Ibu kemudian menyeluk tangan kanannya ke dalam mulut buaya tersebut setelah mendapat arahan daripada datuk,” jelasnya.
Selepas kejadian itu, ibunya mempunyai kemampuan untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan kulit.
Menurut kepercayaan masyarakat zaman dahulu, apabila seseorang itu dapat menyeluk tangan ke dalam mulut buaya, dia akan mendapat manfaat dan berkebolehan untuk mengubati penyakit berkaitan kulit atau ulser yang terjadi pada bahagian mulut.
Mereka percaya, individu berkenaan hanya perlu menyentuhkan tangan mereka dan melakukan usapan pada bahagian yang sakit untuk mengubatinya.
Jelasnya lagi, dia sendiri pernah mengalami penyakit kayap dan selepas ibunya menyentuh bahagian tersebut, masalah itu hilang dalam masa beberapa hari sahaja.
Selain itu, dia mendengar cerita daripada ibunya bahawa datuknya mewarisi ilmu itu kepada salah seorang saudara jauh mereka sebelum meninggal dunia.
——————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














