fbpx
Gambar hiasan

‘Kami rindu minyak masak Malaysia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Hajat peniaga dan penduduk di wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat dan Pattani untuk terus menikmati bekalan mi­nyak masak paket dari Malaysia kini hanya tinggal mimpi apabila bahan mentah itu semakin sukar untuk diseludup ke negara itu.

Situasi itu berlaku ekoran kawalan ketat di sempadan oleh pasukan keselamatan negara bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Seorang penduduk dari Golok, Thailand dikenali Khosim, 37, berkata, kekurangan bekalan itu sedikit menjejaskan kehidupan harian mereka terutama para peniaga yang selama ini bergantung kepada bekalan minyak masak seludup dari Malaysia.

MINYAK masak paket bersubsidi dari Malaysia dijual pada harga lebih mahal di selatan Thailand iaitu antara RM3.80 hingga RM5 sepaket.

Menurut Khosim, sejak pintu sempadan ditutup susulan penularan pandemik Covid-19, bekalan minyak masak paket dari Malaysia semakin berkurangan.

“Penduduk di sini terpaksa beralih menggunakan minyak masak keluaran Thailand.

“Saya akui harga minyak masak dari Malaysia lebih murah berbanding keluaran negara ini. Sebab itu, ia jadi pilihan utama penduduk di sini yang rata-rata daripada golongan berpendapatan rendah. Kami rindu untuk menggunakan minyak masak itu.

“Sebagai peniaga makanan, saya juga bergantung sepenuh­nya kepada minyak paket ini ke­rana kualitinya,” kata Khosim ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Khosim memberitahu, pada kebiasaannya, dia akan membuat tempahan lebih daripada biasa daripada sindiket untuk dijadikan bekalan.

“Saya akan membeli 20 kotak seminggu dengan setiap kotak mengandungi 17 paket minyak masak,” jelasnya.

Menurutnya, setiap paket minyak masak seludup di selatan Thailand dijual pada harga antara RM3.80 hingga RM5, iaitu lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan kerajaan Malaysia melalui subsidi iaitu RM2.50.

Minyak masak Malaysia mendapat permintaan tinggi di sempadan Thailand.

Bagi Che Mud, 40, dari Pattani, dia memilih menggunakan mi­nyak paket keluaran Malaysia kerana ia lebih berkualiti selain yakin dengan tahap halalnya.

Katanya, minyak masak itu amat sesuai untuk menggoreng selain penggunaan bahan mentah tersebut juga lebih menjimatkan.

“Saya akan beli secara pukal kerana ia lebih mudah selain harganya yang masih rendah berbanding produk Thailand.

“Penduduk di sini lebih gemar menggunakan minyak kelapa sawit kerana kebanyakan minyak keluaran Thailand adalah minyak kacang soya dan minyak kacang tanah,” katanya.

Menurut Che Mud, sebelum berlakunya kawalan ketat di sempadan Malaysia, minyak masak paket itu mudah didapati di kedai runcit di sekitar Pattani.

MINYAK masak dari Malaysia mendapat permintaan tinggi di selatan Thailand kerana memiliki kualiti selain mempunyai logo halal yang dipercayai. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, seorang penyeludup dikenali sebagai Che Heng, 45, berkata, sebelum berlaku pandemik Covid-19, mereka mampu menjana pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan melalui aktiviti berkenaan.

Katanya, permintaan tinggi terhadap minyak masak paket bersubsidi dari negara ini menjadi punca wujudnya kegiatan penyeludupan bahan mentah itu.

Tambah beliau, selain berkualiti tinggi dan murah, faktor halal turut memberi galakkan untuk membawa keluar bara­ngan subsidi itu secara haram ke negara jiran.

“Bagaimanapun, kegiatan penyeludupan bergantung kepada situasi di sempadan.

“Sebelum ini, saya mampu membawa 1,000 kilogram atau satu tan minyak masak paket bersubsidi dari Malaysia ke negara jiran melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Golok,” katanya.

KTIVITI penyeludupan minyak masak kini semakin terkawal dengan adanya kawalan ketat pasukan keselamatan di sempadan negara.

PGA gagalkan cubaan seludup 22 tan minyak bersubsidi

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 22,049 ki­logram atau lebih 22 tan minyak masak paket bersubsidi daripada lolos ke negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, jumlah rampasan itu melibatkan tugasan Ops Benteng Covid-19 yang dijalankan oleh PGA Batalion 7 pada bulan April hingga bulan ini.

“Sepanjang tempoh dua bulan tugasan itu, PGA Batalion 7 berjaya menyelamatkan minyak masak paket sebanyak 22 tan bernilai RM86,516 daripada di­seludup ke negara jiran.

“Kita tidak mahu barangan bersubsidi disediakan oleh kerajaan untuk rakyat dibawa keluar secara haram oleh pembelot negara dengan menjalankan aktiviti penyeludupan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang terbuka tanpa sebarang binaan tembok kekal yang memisahkan antara kedua-dua negara menjadi antara cabaran buat anggota PGA dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan.

Menurut Azhari, sehubungan itu, pihaknya sentiasa melakukan rondaan rutin selama 24 jam sehari bagi memastikan kawalan negara berada pada tahap terbaik.

Katanya, ia merangkumi rondaan di semua kawasan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bermula dari Rantau Panjang sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Meskipun tugasan agak mencabar, namun ia bukan halangan untuk anggota PGA untuk me­nguatkuasakan undang-undang di kawasan sempadan.

“Seluruh anggota telah dipersiapkan dengan daya tahan mental yang tinggi bagi memastikan operasi mengawal sempadan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Tambahnya, selain minyak, barangan bersubsidi lain seperti tepung, bahan api petrol dan diesel turut diberikan perhatian supaya ia tidak diseludup dengan mudah ke negara jiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN