MENCIPTA gimik sebelum melancarkan sesebuah karya bukanlah perkara baharu dalam dunia hiburan, tidak kira lakonan atau nyanyian.
Bagi penyanyi, Shiha Zikir, kontroversi yang melanda sebelum pelancaran single terbaharunya yang bertajuk Aewo bukan sesuatu yang dirancang atau diduga.
Disebabkan membawakan konsep atau aura yang menyelitkan sedikit elemen mistik, pemilik nama penuh Nurshiha Mohd. Zikir itu dituduh sengaja mempermainkan soal agama.
Beberapa hari sebelum Aewo dilancarkan minggu lalu, banyak komen negatif ditinggalkan peminat menerusi Instagram Shiha yang menentang konsep lagu berkenaan.
“Saya sendiri orang Islam dan masih tahu batas agama. Janganlah bercakap seperti saya ini tiada pegangan.
“Meskipun saya mahu kreatif dalam berkarya, semuanya pasti ada batasan. Kadang-kadang orang terlalu cepat menjatuhkan hukuman sebelum betul-betul memahami kejadian sebenar,” ceritanya satu per satu membuka perbualan sewaktu bercakap kepada HibGlam baru-baru ini.

Terbuka
Jelas wanita berusia 32 tahun itu, dia tidak menyesal memilih konsep berbeza dalam single baharunya kerana mahu peminat lebih berfikiran terbuka menghargai karya seni artis tempatan.
Seni bukan hanya terbatas terhadap muzik tetapi lebih meluas mencakupi kehebatan gaya tarian, keunikan solekan khas dan suntingan kreatif pereka grafik dalam sesebuah karya.
“Ada yang menuduh saya menggalakkan perbuatan syirik kerana mereka melihat simbol iluminati dalam muzik video itu. Sebenarnya itu sekadar simbol A untuk Aewo tetapi orang cenderung melihatnya dari sudut negatif.
“Tidak kurang juga yang menyindir saya meniru konsep lagu Lathi dari Indonesia tetapi saya okey kerana tahu, tiada guna bertekak dengan orang yang tidak mahu mendengar,” tegasnya.
Tambah pelantun lagu Pipiyama itu, single Aewo sepatutnya dilancarkan lebih awal berbanding lagu Lathi tetapi terpaksa ditunda kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Tidak berasa ralat didakwa sebagai peniru, Shiha memilih untuk berlapang dada. Dia sudah cukup gembira dengan penghasilan lagu Aewo yang turut menggandingkan Noki K-Clique.
“Setahun saya tunggu Ezra Kong ciptakan lagu buat saya. Genre lagu Aewo telah keluar daripada zon selesa saya, jadi saya berharap peminat akan memberikan sokongan terhadap single ini,” ujarnya.

Kahwin
Bercakap secara rasional, hampir 10 tahun berada dalam industri, boleh dikatakan anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini bukan calang-calang orangnya.
Selain di Malaysia, nama Shiha juga turut dikenali di Indonesia apabila menyertai program realiti D’Academy di sana pada tahun 2015.
Namun, sehingga kini namanya masih berada pada carta sederhana meskipun sudah memiliki banyak pengalaman dalam bidang seni suara.
Kata Shiha, dia bukan terdesak untuk memaksa diri melakukan sesuatu yang keterlaluan.
“Saya tidak terdesak untuk meraih populariti yang melampau-lampau. Nama saya mungkin tidak berada pada tahap terlalu tinggi tetapi setakat ini, kedudukannya cukup untuk saya mencari rezeki.

“Biarlah orang mengenali saya kerana bakat dan karya sahaja. Saya tiada masa untuk mencipta kontroversi aneh demi memastikan nama sentiasa menjadi sebutan,” tuturnya.
Menyentuh sedikit soal peribadi, umum mengetahui anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah lama menjalin percintaan dengan si jejaka bernama Arul sejak 11 tahun lalu.
Belum memberi bayangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, Shiha berkata, jika sudah sampai masanya semua orang akan dimaklumkan.
“Saya tidak kisah orang asyik bertanya tentang detik menamatkan zaman solo, itu tandanya mereka ambil berat tentang saya cuma sekarang memang belum ada jawapan.
“Doakan jodoh kami cepat sampai dan dipanjangkan untuk bergelar suami isteri,” ulasnya ringkas menamatkan perbualan.















