PETALING JAYA – Mungkin ramai yang beranggapan bahawa kes kecederaan atau kematian melibatkan bayi dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun lebih banyak berlaku ketika di bawah jagaan pengasuh.
Bagaimanapun, tanggapan itu ternyata meleset apabila para ibu bapa didapati lebih cuai dalam menjaga anak-anak mereka sehingga mengakibatkan kecederaan atau lebih teruk menjadi punca kematian si kecil.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan, kejadian tersedak susu, terjatuh katil dan lemas dalam baldi antara kecuaian yang kerap berlaku.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sejak 2016 hingga April tahun ini, sebanyak 609 kes kecuaian yang dilaporkan berlaku adalah melibatkan kanak-kanak.
Menurutnya, sebahagian besar daripada kes itu akibat kecuaian ibu bapa sendiri dalam menjaga anak-anak mereka berbanding ketika berada di bawah jagaan pengasuh.
“Statistik menunjukkan kejadian si kecil terjatuh dari katil, kerusi dan meja merupakan kes yang paling kerap berlaku dengan 282 kes dan diikuti kejadian lemas dalam kolam kecil atau baldi sebanyak 39 kes.
“Sebanyak 36 kes pula diterima berhubung kejadian kanak-kanak terjatuh dari tingkat tinggi atau balkoni, manakala 22 kes melibatkan kejadian tersedak susu atau tercekik makanan dan 15 kes tertinggal di dalam kenderaan.
“Baki daripada jumlah itu pula melibatkan kes-kes yang menjurus kepada penganiayaan seperti sengaja mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! baru-baru ini.
Siti Kamsiah memberitahu, menerusi siasatan polis, daripada angka 609 kes tersebut, kira-kira 90 hingga 100 kes yang diterima adalah kecuaian yang mengakibatkan kematian si kecil, manakala bakinya melibatkan kecederaan.
Katanya, kira-kira 90 peratus daripada 609 kes pula berlaku di dalam bangunan sama ada tempat tinggal, pusat asuhan atau rumah pengasuh.
“Beberapa faktor yang dikesan sebagai penyumbang kepada kes kecuaian adalah kurang ilmu menguruskan kanak-kanak.
“Ibu bapa, penjaga atau pengasuh juga harus mampu mengenal pasti bahaya atau ancaman di sekeliling kanak-kanak kerana itu adalah tanggungjawab mereka,” ujarnya.
Siti Kamsiah berkata, kes kecuaian yang mengakibatkan kecederaan atau kematian kanak-kanak boleh disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu sengaja atau dengan cuai menyebabkan kecederaan.
Individu yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya selain perintah khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori.

Pasangan baru kahwin perlu belajar ilmu keibubapaan
PETALING JAYA – Ibu bapa terutama pasangan muda yang baru berkahwin perlu mempelajari kemahiran keibubapaan yang sangat penting dalam menjamin keselamatan anak-anak sepanjang proses pembesaran mereka.
Pensyarah Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata, ramai ibu bapa yang tidak mempedulikan skil itu.
“Kemahiran parenting adalah suatu skil yang harus dipelajari menerusi kelas, pemerhatian, pembacaan serta pengalaman. Sebab itu pasangan muda yang baru mendapat anak digalakkan untuk mempelajari kemahiran ini.
“Antara komponen penting yang perlu difahami dalam parenting adalah kasih sayang, respons serta konsistensi dan bukannya hanya menyediakan keperluan asas kepada anak-anak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Abdul Rahman memberitahu, kes kecuaian atau pengabaian anak-anak bukanlah perkara baharu kerana ia sering terjadi dalam komuniti sehingga memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak dalam jangka panjang.
“Apabila berlakunya kecelakaan melibatkan kanak-kanak, perkara itu boleh memberikan kesan kepada mental mereka seperti post-traumatic stress disorder (PTSD) dan bukannya hanya melibatkan fizikal.
“Jika dibiarkan, anak-anak yang mengalami PTSD akan mengalami masalah dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran, tiada kebolehan menyelesaikan konflik dan mengasingkan diri daripada orang lain.
“Lebih membimbangkan jika mereka cenderung untuk melakukan keganasan dalam penyelesaian konflik,” ujarnya.
Katanya, kesemua masalah itu sudah pastinya memberi kesan kepada kesihatan mental yang menyebabkan kemurungan, bipolar dan mungkin juga conduct disorder seperti kecenderungan untuk mencuri, bergaduh dan sebagainya.
Justeru, pasangan yang baru berkahwin harus membuat persediaan rapi dan mencari ilmu terutamanya dalam skil keibubapaan, kehidupan berkeluarga dan memahami maksud sebenar menjadi seorang ibu bapa.
















