BEAUFORT – Lelaki yang didakwa memukul serta menampar isteri dan anak lelakinya baru-baru ini berjaya diberkas, hari ini selepas tiga hari melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan sekitar pukul 2.30 pagi tadi oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
“Suspek ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 30, Kimanis.

“Kita berjaya mengesan dan menangkap lelaki terbabit selepas tiga hari dia cuba melarikan diri.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.
Terdahulu, seorang lelaki dikatakan memukul dan menampar isterinya berusia 23 tahun dan anaknya berumur setahun hanya kerana tidurnya terganggu oleh tangisan kanak-kanak itu di rumah mereka di Kampung Membakut Jaya Rabu lalu.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, suspek yang sedang mengamuk turut mengugut mahu membunuh dan menggantung isterinya. -K! ONLINE














