fbpx
RAWATAN pemulihan ketagihan turut dilaksanakan menerusi sesi bimbingan dan kaunseling serta lain-lain.

Dorongan diri rawat ketagihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA mula mengambil dadah jenis ganja seawal usia 12 tahun. Pada waktu itu, saya terjebak dengan perbuatan meminum arak terlebih dahulu sebelum mencuba mengambil ganja,” dedah seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Angah.

Angah yang kini berusia 30 tahun menjelaskan, dia terjerumus dalam kancah najis dadah kerana terpengaruh dengan rakan-rakannya.

Menurutnya, pada umur semuda itu dia berkawan dengan mereka yang lebih berusia daripadanya.

Rakan-rakan itulah yang menjadi pembekal dadah kepadanya.

“Apabila usia saya 17 tahun, saya telah berani untuk mencuba pelbagai jenis dadah antaranya ekstasi, erimin 5 dan lain-lain lagi.

“Pada ketika itu saya juga telah melakukan kerja-kerja jenayah semata-mata untuk mendapatkan duit bagi membeli dadah,” jelasnya yang berasal dari Kuala Lumpur kepada K2.

Angah yang pernah ditangkap polis kerana satu kes jenayah lampau menegaskan, bukan mudah untuk seseorang itu keluar daripada masalah penagihan dadah termasuk dirinya.

Namun, dia tekad untuk mencari jalan keluar daripada terus bergelumang najis dadah dengan mengambil keputusan ‘menyerah diri’ di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Puspen Sungai Besi merupakan salah satu Puspen Sukarela di negara ini.

Daripada 31 buah Puspen kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di negara ini, 11 daripadanya ialah Puspen Sukarela.

Puspen Sukarela merupakan salah satu kaedah atau pendekatan yang dilaksanakan AADK untuk menggalakkan mereka yang bermasalah penyalahgunaan dan penagihan dadah tampil secara sukarela bagi merawat ketagihan itu.

Angah berkata, dia sentiasa menjadikan Puspen sebagai sandaran kekuatan sewaktu bergelut untuk keluar daripada cengkaman dadah setiap kali godaan ‘barang’ haram itu kembali.

Angah memberitahu, kali pertama dia menjejakkan kaki ke Puspen Sukarela itu pada usia 23 tahun.

PARA penagih dadah mendapatkan rawatan di Puspen Sukarela
dengan kemahuan sendiri demi mengecapi hidup yang lebih bermakna.

Pada ketika itu, seorang rakan yang mencadangkannya untuk ke Puspen Sukarela selepas melihat tingkah lakunya yang agresif apabila tidak mengambil dadah.

“Saya hadir ke Puspen Sukarela buat kali pertama dan berjaya mengatasi masalah tersebut. Tetapi apabila keluar disebabkan pengaruh rakan dan masalah peribadi menyebabkan saya kembali mengambil dadah.

“Saya menjadikan masalah peribadi sebagai alasan utama ketika itu untuk kembali menagih,” jelasnya.

Tambahnya, pada ketika itu keluarganya sendiri telah meminggirkannya setelah mengetahui dia kembali terjerumus dengan najis dadah.

Kemudian, dirinya kembali ke Puspen Sukarela pada tahun 2017 untuk merawat masalah itu. Angah berada di Puspen Sukarela selama 26 bulan dan dia berjaya keluar daripada masalah ketagihan dadah itu.

Sebaik keluar dari Puspen Sukarela pada awal tahun 2019, Angah telah mendapatkan pekerjaan yang baik untuk menyara hidup.

DI Puspen, para penagih turut dibimbing dengan pelbagai program rawatan dan pemulihan meliputi biologi, psikososial dan spiritual atau keagamaan

Namun, pendemik Covid-19 yang melanda telah menyebabkan dia kehilangan pekerjaan dan membuatnya berasa tertekan.

“Saya berjaya tidak menyentuh dadah hampir setahun selepas keluar dari Puspen Sukarela. Tetapi disebabkan kehilangan pekerjaan saya tertekan dan kembali mengambil dadah.

“Pada bulan Julai tahun lalu saya mengambil keputusan untuk kembali ke Puspen ini bagi kembali merawat masalah itu.

“Jadi ini adalah kali ketiga saya secara sukarela datang ke Puspen bagi membolehkan saya keluar daripada masalah penagihan dadah sepenuhnya.

“Sebenarnya di Puspen Sukarela ini masalah penagihan dadah boleh diatasi. Tetapi apabila diri ini keluar, faktor luaran menjadi penyebab saya mengambil dadah semula,” ujarnya.

Angah berharap ini merupakan kali terakhir dia menjejakkan kaki ke Puspen Sukarela dan menanam azam untuk tidak terpedaya dengan dadah lagi.

Angah menjelaskan, di Puspen Sukarela, beberapa program disediakan untuk membantu penagih sepertinya.

Antara salah satu yang Angah gemari adalah terapi kekeluargaan yang turut mengajarnya cara membuat perubahan tingkah laku, kekemasan diri dan lain-lain lagi.

“Mereka juga membimbing saya kaedah berfikir sebelum mengambil sesuatu keputusan terutamanya jika diri terasa untuk kembali mengambil dadah.

“Ketika ini saya telah berjaya mengatasi masalah ketagihan dadah sepenuhnya dan berada di fasa prabebas peringkat awal,” katanya.

Selain Angah, seorang lagi penagih yang mahu dikenali sebagai Daniel, 24, juga secara sukarela hadir ke Puspen Sukarela bagi merawat masalah ketagihan dadah yang dialaminya.

Menurut Daniel, dia telah berada di situ hampir setahun.

“Program yang diatur Puspen Sukarela ini ternyata banyak membantu kami untuk meninggalkan masalah penagihan.

“Melalui rawatan-rawatan ini mereka mengubah kami menjadi lebih berdisiplin,” jelasnya.

Selain itu, Daniel menjelaskan, dia juga didedahkan dengan pengisian jati diri untuk memperteguh jiwa daripada anasir-anasir negatif luar.

Dalam pada itu, Pengarah Puspen Sungai Besi, Nurshuhaila Abdul Rahman berkata, rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan oleh Puspen termasuk Puspen Sukarela adalah bersifat holistik.

Menurutnya, program rawatan dan pemulihan itu bersifat biologi, psikososial dan spiritual.

“Mereka yang secara sukarela datang ke Puspen ini untuk merawat masalah akan mengikuti lapan komponen melibatkan sesi bimbingan dan kaunseling, rawatan perubatan, pendidikan kesihatan, keagamaan, sukan dan rekreasi, sivik dan tata negara serta integrasi sosial bersama masyarakat.

“Di sini, kita akan beri mereka ilmu serta kemahiran untuk membantu mereka atasi masalah ketagihan dadah,” katanya.

NURSHUHAILA

Sementara itu, program pertama yang akan dijalani oleh mereka di Puspen adalah detoksifikasi selama dua minggu.

Detoksifikasi dilaksanakan bagi membolehkan mereka stabil berdasarkan elemen perubatan.

“Dalam tempoh dua minggu ini, mereka akan berada di wad pemerhatian dan jika stabil kita akan membawa mereka ke asrama induk.

“Di asrama induk, mereka akan menjalani orientasi selama sebulan dan akan memasuki kelas induksi bagi membolehkan mereka mengenal pasti kes-kes dalaman dan juga luaran yang menjadi pencetus kepada pengambilan dadah,” jelas Nurshuhaila.

Selepas itu, mereka kemudian akan mengikuti program-program yang telah diatur Puspen sepanjang berada di situ.

Dalam pada itu, Nurshuhaila menjelaskan, tempoh maksimum mereka di situ adalah selama dua tahun.

“Kita merupakan salah satu Puspen Sukarela di mana mereka yang datang atas kehendak diri untuk menjalani pemulihan dan bukannya atas perintah mahkamah atau pihak berwajib lain.

“Kepulihan dadah ini banyak faktor yang mempengaruhi dan kita tidak dapat nafikan, ada sebilangan daripada mereka apabila keluar dari sini kembali kepada tabiat asal mereka. Kita akan membantu sedaya yang boleh bagi memulihkan mereka ini,” jelasnya.

Nurshuhaila menegaskan, pihaknya juga tidak lepas tangan dan sentiasa akan mengambil langkah susulan agar mereka yang telah pulih kekal berada di landasan yang betul.

Jelasnya, mereka yang telah pulih dan keluar dari Puspen akan berada di bawah pengawasan AADK daerah selama dua tahun dan perlu melaporkan diri setiap bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN