fbpx

Cempaka rindu suasana pelantar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun lalu bukan sahaja mencetuskan krisis kesihatan global, malah turut menjejaskan rutin harian dan kehidupan masyarakat setempat.

Turut terkena tempias ialah Lim Chia Wei atau dikenali Cempaka Lim selepas kerjayanya sebagai seorang jurutera produksi di sebuah syarikat pengerudi minyak dan gas (O&G) terkemuka bertukar 360 darjah.

Ketika ini, wanita berusia 29 tahun itu lebih menghabiskan masa di rumah dan mengakui sangat merindui suasana dan kerja-kerja di atas pelantar di tengah laut.

Menurut anak kelahiran Alor Setar tetapi membesar di Kuala Perlis itu, pandemik ini boleh diatasi dengan kerjasama semua pihak termasuk menyokong usaha kerajaan mencapai had imuniti berkelompok bagi memastikan kehidupan ha­rian kembali normal seperti sebelum ini.

Biarpun menyedari, semua individu mempunyai hak memilih untuk mendapatkan suntikan vaksin, namun Cempaka berpendapatan kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan diri sendiri.

CEMPAKA banyak belajar erti pengorbanan dan perjuangan selama lima tahun bekerja di pelantar yang terletak di tengah laut.

Kepada wartawan Kosmo! Ahad, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan Petroleum Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini berkongsi kisah hidupnya termasuk ciri-ciri lelaki idaman.

Kosmo! Ahad: Berapa lama terlibat dalam bidang O&G sebagai seorang jurutera?
Cempaka: Saya sudah terlibat dalam industri ini selama lima tahun dan bekerja di salah sebuah syarikat O&G terbesar di dunia.

Perkara paling dirindui be­kerja atas pelantar?
Saya merindui rakan seperjuangan yang bekerja di pelantar minyak kerana mereka semua sangat baik. Mereka banyak me­ngajar saya tentang selok-belok berada dalam industri ini.

Cabaran paling gentir pernah dihadapi sepanjang berada di atas pelantar?
Musim tengkujuh berikutan laut bergelora yang selalunya mem­bawa bersama angin kencang.

Bagaimana mengekalkan kecergasan dan kecantikan?
Saya mengamalkan senaman setiap pagi sama ada berlari atau berbasikal. Apabila bekerja di pelantar, saya sering ke gimnasium untuk bersenam.

Siapa idola hidup dan sebabnya?
Idola saya adalah isteri bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama dan pengacara veteran terkemuka dunia, Oprah Winfrey. Mereka sangat hebat kerana sentiasa memperjuangkan hak wanita seluruh dunia.

CEMPAKA belum mahu memikirkan soal jodoh dan hanya fokus kepada kerjaya sebagai seorang jurutera.

Ciri-ciri lelaki idaman?
Lelaki yang ada karisma dan bertanggungjawab kerana mereka mempunyai kualiti untuk menjaga saya.

Bila mahu tamatkan zaman bujang?
Buat masa ini belum lagi ke­rana banyak impian yang perlu dicapai selain saya mahu men­yambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kepentingan vaksin Co­vid-19?
Kita memang telah mengambil vaksin sejak dari kecil termasuk untuk demam campak. Fungsi­nya sama iaitu bagi meningkatkan daya tahan imun kita dalam mengawal dan mengelakkan kesan penyakit lebih teruk.

Pandangan anda kepada golongan antivaksin?
Saya sendiri sedang me­nunggu tarikh mengambil vaksin. Kita harus ada sifat tanggungjawab dalam memastikan hak masyarakat untuk bebas bersama-sama dari ancaman pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN