fbpx
Azmi (kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM9.3 juta ketika sidang akhbar di sini, hari ini.

Pasangan suami isteri diberkas, dadah RM9.3 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi pasangan suami isteri dengan merampas sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM9.3 juta dalam serbuan di empat lokasi berasingan pada 5 dan 6 Jun lalu.

Bertindak melalui maklumat dan risikan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur telah menyerbu sebuah rumah di Cheras pada pukul 2.15 petang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, menerusi serbuan itu, pasangan suami isteri berusia 31 tahun bersama seorang rakan mereka yang berusia 21 tahun berjaya diberkas termasuk merampas beberapa jenis dadah.

“Hasil maklumat daripada suspek, keesokannya polis sekali lagi membuat serbuan di tiga premis di kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan Kajang serta merampas sejumlah dadah.

“Secara keseluruhannya, hasil serbuan di kesemua empat lokasi, polis berjaya merampas empat jenis dadah iaitu heroin base, heroin, ketamin, Erimin 5 yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM9.3 juta,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati keempat-empat premis yang diserbu telah dijadikan tempat penyimpanan dadah dan disewakan selama tiga bulan kepada suspek antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

“Suspek dipercayai baru sahaja bergiat aktif dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lalu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, bagaimanapun semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI