fbpx
SALURAN televisyen berfokuskan sukan akan menyajikan pelbagai segmen menarik sempena Euro 2020.

Liputan dinihari Euro 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPAK mula melibatkan pasukan gergasi Itali menentang Turki di Stadium Olimpik, Rom pada awal pagi esok menandakan bermulanya Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2020.

Kedua-dua pasukan tersebut merupakan antara 24 negara terbaik di benua Eropah yang bakal memburu trofi Henri Delaunay itu.

Trofi atau piala tersebut bersempena nama tokoh dari Perancis, Henri Delaunay yang memiliki pengaruh besar terhadap perkembangan bola sepak di Eropah dan dunia.

Kejohanan memasuki edisi ke-16 itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada musim panas tahun lalu, namun terpaksa ditunda oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) ekoran pandemik global Covid-19.

Pertama kali dalam sejarah, kejohanan Euro terpaksa ditunda penganjurannya sejak mula dihoskan Perancis sejak 60 tahun lalu.

Meskipun kejohanan kedua berprestij selepas Piala Dunia itu berlangsung nun beribu-ribu kilometer jauhnya dari Malaysia, namun kejohanan Euro sentiasa menarik minat penggemar bola sepak tempatan.

Rata-rata peminat sudah tidak sabar menyaksikan pasukan pilihan mereka beradu kekuatan serta aksi bintang-bintang bola sepak terbaik dunia apatah lagi semasa pandemik ini yang kebanyakan orang tertumpu pada televisyen (TV).

Di Malaysia, bagi memeriahkan lagi Euro 2020, saluran TV sukan popular tanah air, Astro Arena menampilkan segmen dan aktiviti menarik khusus buat para peminat bola sepak tempatan di kaca TV.

Bermula 12 Jun hingga 11 Julai ini, saluran itu bakal menyajikan 33 perlawanan kejohanan Euro 2020 secara langsung, manakala selebihnya siaran tertunda.

Antara dua tonggak yang bakal menggalas tanggungjawab memastikan liputan dan penyampaian mengenai kejohanan itu sentiasa rancak dan menyeronokkan setiap kali perlawanan bersiaran ialah Nafis Abdullah yang digelar Botak dan Rueben Thevandran atau Burn.

Nafis, 30, menjelaskan, Astro Arena akan membawakan perlawanan-perlawanan terbaik kejohanan Euro 2020 secara langsung meliputi perlawanan peringkat kumpulan, suku akhir, separuh akhir dan final.

Nafis yang berasal dari Peringgit Jaya, Melaka berkata, penyiaran perlawanan akan turut disemarakkan dengan rancangan Borak-Borak Botak (BBB) dan Berbulu Dengan Burn (BDB).
BBB dan BDB asalnya rancangan bual bicara semasa yang mengupas tentang liga-liga utama bola sepak antarabangsa.

“Jika sebelum ini BBB bersiaran pada malam Jumaat, manakala BDB bersiaran pada malam Khamis tetapi sepanjang Euro 2020 kami akan muncul bergilir-gilar secara lebih kerap dengan setiap rancangan dijangka bersiaran 16 kali dan pada perlawanan akhir akan dihoskan secara bersama.

“Kedua-dua rancangan itu bakal bersiaran sejam sebelum perlawanan, ketika rehat separuh masa serta selepas berakhirnya permainan yang ditayangkan.

“Kami akan bersiaran sepanjang Euro 2020 ini di dalam set, berbanding di konti sebelum ini,” katanya kepada K2.

BURN (kiri) dan Nafis (kanan) dilihat sebagai dua tonggak yang akan memeriahkan Euro 2020 di Astro Arena.

Terangnya, bagi praperlawanan, mereka bakal membincangkan perkara berkaitan corak taktikal bakal dimainkan, pemain tumpuan serta isu-isu semasa kedua-dua pasukan.

Ketika waktu rehat separuh masa pula, BBB dan BDB akan mengupas mengenai aksi 45 minit pertama kedua-dua pasukan selama 15 minit.

Selepas berakhirnya perlawanan, kedua-dua rancangan itu akan mengulas secara terperinci dan mendalam prestasi kedua-dua pasukan serta mengimbas kembali gol-gol yang dihasilkan.

Menariknya, kedua-dua rancangan tersebut bakal diserikan lagi dengan panel-panel jemputan seperti personaliti Mat Stats, Kieran Era, Radin Era dan Irfan Ali.

Semua perlawanan Euro 2020 juga akan diulas dalam bahasa Melayu oleh para pengulas Astro Arena serta pengulas jemputan terdiri daripada bekas pemain bola sepak kebangsaan.

Menurut Nafis, memandangkan negara dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka rancangan BBB dan BDB akan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Jelasnya, seorang atau dua orang tetamu sahaja yang akan dijemput pada satu-satu masa bagi memudahkan SOP dipatuhi sepanjang rancangan berlangsung.

“Kami akan pastikan penjarakan fizikal bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 memandangkan kes harian masih tinggi.

“Kami memastikan semua tetamu dan kru berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan masuk ke dalam set. Penyampaian Euro kali ini tidak ada sebarang aktiviti melibatkan sentuhan atau penyokong yang ramai,” jelasnya.

Sementara itu, Burn, 39, berkata, kejohanan Euro kali ini berbeza daripada kejohanan-kejohanan musim lalu apabila berlangsung dalam suasana pandemik lantas menawarkan cabaran tersendiri.

“Persediaan sudah dibuat sejak tahun lalu lagi. Maklumat mengenai para pemain dan pasukan sudah ada, cuma sekarang kami perlu sentiasa mendapatkan maklumat semasa terkini sekiranya terdapat pemain yang positif Covid-19 selain cedera.

Menurut Burn, Euro 2020 juga memberi cabaran kepadanya untuk memastikan penonton boleh menerima konsep pengacaraan bola sepak baharu memandangkan mereka tidak akan beraksi formal dengan pakaian kot seperti musim sebelumnya.

PORTUGAL selaku juara bertahan pasti ingin mengekalkan kejuaraan pada musim ini sekali gus mengikut jejak Sepanyol yang pernah menjadi juara dua tahun berturut-turut.

Katanya, kedua-dua rancangan tersebut akan diadakan secara lebih santai dari aspek pakaian, perbualan dan tetamu jemputan.

“Tekanan memang sangat tinggi kerana kami yakin peminat bola sepak akan memberi tumpuan pada setiap perlawanan memandangkan ramai hanya duduk di rumah atau bekerja dari kediaman ketika ini.

“Kali ini, kami berpakaian tidak formal, menggunakan bahasa biasa harian dan tetamu pula bukan daripada mereka yang terlibat secara langsung dengan bola sepak.

“Sebenarnya, konsep santai ini sudah diterapkan saluran televisyen luar negara seperti Sky Sports. Jadi, saya harap penonton di negara ini dapat menerima konsep baharu yang cuba diketengahkan,” ujar Burn.

Mengenai pengacaraan pada awal pagi, Burn berkata, itu bukan suatu masalah baginya kerana sudah biasa membuat liputan temasya-temasya sukan di luar negara yang lain termasuk Olimpik dan Liga Perdana Inggeris.

Anak jati Kuala Lumpur itu berpendapat, England, Sepanyol, Perancis dan Portugal merupakan pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2020. Tegasnya, Portugal sebagai juara bertahan pasti ingin mempertahankan kejuaraan dimenangi sekali gus mengulangi pencapaian Sepanyol yang memenanginya dua kali berturut-turut pada tahun 2008 dan 2012.

“Perlawanan melibatkan Portugal pasti menjadi tumpuan ramai memandangkan mereka diletakkan dalam kumpulan maut bersama juara Piala Dunia, Perancis, Jerman dan Hungary,” katanya.

Meskipun begitu katanya, pasukan-pasukan kerdil seperti Denmark, Switzerland, Republik Czech, Turki, Sweden dan Hungary tidak harus dipandang sepi oleh para penonton.

“Ini telah dibuktikan Greece pada Euro 2004 apabila berjaya mengejutkan ramai pihak dengan berjaya mendakap piala berprestij itu tanpa pemain bintang. Greece berjaya singkirkan beberapa pasukan gergasi termasuk Portugal dan Perancis. Jadi, apa-apa pun boleh berlaku di Euro,” ujar Burn.

Buat pertama kalinya juga kata Burn, Euro 2020 akan menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam semua perlawanan sekali gus memberi keseronokan dan debaran yang berbeza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN