fbpx

Bella ajak anak muda suntik vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA

SIKAP segelintir anak muda yang beranggapan vaksin Covid-19 merupakan sebahagian daripada agenda pihak tertentu perlu ditangkis segera bagi memastikan lekuk jangkitan pandemik itu dapat dilandaikan kembali.

Pastinya, golongan itu perlu memaksimumkan penggunaan platform media sosial khususnya dalam menyampaikan informasi tepat sekali gus mengekang penularan berita palsu berkaitan suntikan vaksin.

Gadis Pesona Ahad, Nurul Amira Ab. Rahman, 27, menyifatkan penggunaan media sosial mampu mempengaruhi golongan muda ke arah kebaikan lebih-le­bih lagi berkaitan isu penerimaan vaksin.

Anak kelahiran Johor yang mesra dipanggil sebagai Bella ini turut mengajak anak muda agar sama-sama menyokong usa­ha kerajaan dengan
menerima vaksin, seterusnya bekerjasama menolak dakyah negatif yang dibawa golongan tertentu.

Kepada wartawan Kosmo! Ahad, pelajar jurusan fesyen ini berkongsi pandangan dan kisah dirinya.

KOSMO! AHAD: Selain menjadi pelajar, apakah yang anda lakukan dalam kehidupan seharian?
BELLA: Saya juga merupakan pelakon dan model sampingan selain turut menjadi perancang kewangan.

Bagaimanakah anda gambarkan kehidupan seharian tanpa sebarang platform media sosial?
Sekarang semuanya bergantung kepada media sosial sama ada untuk berhu­bung
dengan kawan ataupun menjalankan perniagaan. Ia sangat penting kepada setiap orang untuk melancarkan urusan.

Pernah diganggu oleh individu tertentu di laman media sosial?
Tipulah kalau tiada orang ganggu, tetapi saya anggap isu itu tidak terlalu menjadi masalah, asalkan gangguan berkenaan tidak
memudaratkan diri saya dan ­keluarga.

Apa ciri-ciri lelaki idaman yang sering dilihat di media sosial?
Saya tidak menetapkan syarat tertentu, cukup sekadar menarik dan pandai mengambil hati.

Antara lelaki matang dan berduit, siapakah menjadi pilihan?
Bagi saya duit kita boleh cari, tetapi lelaki yang ikhlas adalah sesuatu yang istimewa.

BELLA tidak meletakkan syarat tertentu untuk mencari pasangan asalkan lelaki berkenaan ikhlas dan pandai mengambil hati.

Boleh kongsikan aktiviti sepanjang tempoh lockdown?
Saya banyak habiskan masa bersama keluarga selain gemar memasak dan bermain dengan kucing.

Apa pandangan terhadap individu yang gemar melanggar prosedur operasi stan­dard (SOP)?
Kalau kita tengok ramai yang langgar SOP dan rentas negeri sekarang ini, mungkin mereka ada alasan tertentu.

Adakah sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Co­vid-19?
Saya sudah mendaftar tetapi belum dapat giliran untuk menerima suntikan. Saya masih menunggu dan berharap giliran saya akan tiba secepat mungkin.

Pandangan terhadap individu yang tidak mahu mene­rima vaksin?
Itu adalah hak masing-ma­sing tetapi saya berharap agar mereka ada lebih kesedaran untuk menerimanya.

Nasihat terhadap orang muda yang masih tidak mahu menerima vaksin?
Saya menyeru kepada mereka untuk menerima vaksin seperti disaran kerajaan bagi sama-sama membanteras penularan pandemik Co­vid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI