fbpx
Nelayan terpaksa membawa pulang hasil tangkapan yang didaratkan di pelantar ikan Kuala Sanglang, Kedah dengan berjalan kaki ke rumah mereka di Kuala Sanglang, Perlis.-SHAHIR NOORDIN

Dilema rumah atas sempadan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Punggah barang di sempadan yang diletakkan penghadang konkrit dan terpaksa menggunakan jalan jauh kerana laluan pintas ditutup ketika Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Dua situasi tersebut merupakan sebahagian kesulitan yang dihadapi oleh penduduk yang berkongsi bandar walaupun tinggal di dua buah negeri berlainan seperti Kedah dan Perlis.

Lokasi yang sering menimbulkan kekeliruan ialah Kuala Sanglang yang terletak di antara dua buah negeri itu.

Seorang penduduk Kuala Sanglang, Perlis, Teoh Chin Bin, 58, berkata, mereka yang mahu ke situ perlu memastikan lokasi yang dituju sama ada dalam kawasan Kedah atau Perlis.

Kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung itu, sebelum PKP Penuh, mereka bebas keluar masuk ke Kedah untuk ke pekan yang lebih banyak premis dan kawasan perniagaan.

Penduduk di Kuala Sanglang Kedah dan Perlis sukar bergerak ekoran pihak berkuasa meletakkan penghadang konkrit di sempadan dua kawasan tersebut.-SHAHIR NOORDIN

“Penduduk di sini berkongsi bandar yang sama kerana ia terletak di atas sempadan iaitu kurang satu kilometer antara dua negeri itu. Masing-masing ada pekan kecil, namun di sebelah Kedah lebih banyak premis perniagaan.

“Selain itu, kebanyakan penduduk di Kuala Sanglang, Perlis bekerja sebagai nelayan yang mana bot,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, penduduk se­belah Perlis juga setiap hari mendapatkan bekalan ikan segar dari pelantar ikan di Kedah.

Menurut Chin Bin, penduduk di kedua-dua negeri itu saling memerlukan antara satu sama lain kerana kedudukan yang hampir serta berkongsi kemudahan kedai runcit, gerai jual ikan dan pelantar nelayan.

Chin BIN menunjukkan batu sempadan yang terletak bersebelahan rumahnya di Kuala Sanglang, Perlis.-SHAHIR NOORDIN

“Pelaksanaan PKP Penuh telah merencatkan aktiviti dan menyebabkan semua jalan kecil menghubungkan Kedah serta Perlis ditutup kerana dikhuatiri dijadikan lorong tikus oleh orang luar,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Chin Bin, ada jalan kampung yang dibuka untuk motosikal sahaja kerana ia menjadi laluan harian penduduk yang bekerja sebagai nelayan selain membeli barang ke­perluan.

“Jika laluan itu ditutup, penduduk terpaksa menggunakan jalan utama sejauh kira-kira 10 kilometer untuk ke pekan Kuala Sanglang di sebelah Kedah,” jelasnya.

Tambah Chin Bin, jika mengikut batu sempadan, bahagian depan rumahnya terletak di Perlis, manakala bahagian dapur di Kedah tetapi alamatnya menggunakan negeri Indera Kayangan itu.

Seorang nelayan dari Kuala Sanglang, Perlis, Amran Ibrahim, 43, berkata, dia perlu berulang-alik menggunakan jalan kampung untuk ke lokasi bot ditambat.

“Saya perlu ke laut untuk cari pendapatan dan harap jalan yang menghubungkan sebelah Perlis dan Kedah ini terus dibuka kepada laluan penunggang motosikal,” jelasnya.

Peniaga ikan, Ramdan Abu Seman, 60, pula memberitahu, dia terpaksa mengambil bekalan ikan daripada pembekal di laluan yang ditutup itu.

“Pembekal terpaksa meletakkan kereta dan memunggahkan ikan di sempadan laluan ini menyebabkan proses menjual dan membeli sedikit sukar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN