PETALING JAYA – Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Tajuddin yang dilihat tiba di pintu masuk IPD Dang Wangi kira-kira pukul 4.45 petang sebelum keluar kira-kira 10 minit kemudian dengan menaiki sebuah kereta jenis Mercedes berwarna perak.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Datuk Seri Tajuddin untuk dirakam percakapan.
“Kita telah selesai merakam percakapan Datuk Seri Tajuddin sebentar tadi.
“Sebanyak lima kenyataan telah diambil untuk kes ini membabitkan tiga Pegawai Prasarana, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beliau sendiri,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, polis telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat perkara tersebut.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan 2021. – K ONLINE














