SETIAP kali troli berwarna biru cair ditolak keluar dari rumahnya untuk dihantar ke sesebuah destinasi, hati Zatika Izati Puade pasti akan berasa gembira bercampur sebak. Wanita berusia 44 tahun itu tidak menyangka idea mewujudkan sudut bacaan dengan menjadikan troli tiga tingkat sebagai ‘rak’ buku itu kini sudah memiliki pengikutnya yang tersendiri.
Bermula dengan hanya di klinik-klinik, inisiatif itu kemudian digarap dan dirancang dengan teliti sehingga tertubuhnya kumpulan Facebook Gerakan Baca Sambil Menunggu.
Sebagai pengasasnya, Zatika yang juga seorang bekas akauntan berkata, idea pada tahun 2007 untuk mewujudkan Gerakan Baca Sambil Menunggu (GBSM) tidak lain tidak bukan adalah mahu memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.
GBSM menyasarkan ruang-ruang menunggu di premis-premis awam untuk diletakkan troli mengandungi buku-buku untuk bacaan orang ramai.
“Saya masih ingat lagi, saya mula membawa majalah ke sebuah hospital ketika mengandungkan anak kedua pada tahun 2007 dan ketika menunggu giliran pemeriksaan, saya mengisi masa dengan membaca.
“Bukan itu sahaja, saya turut meletakkan buku-buku yang saya bawa di rak buku di ruang menunggu di hospital itu supaya ibu-ibu dan pasangan mereka boleh membaca sambil menanti giliran masing-masing.

“Bermula dari situ, saya terfikir mahu menubuhkan kumpulan membaca dalam skala kecil di Facebook selain mengumpulkan buku-buku untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Panorama.
Pada masa itu, katanya, sudah ada beberapa gerakan membaca seperti BACA@LRT, BACA@Sekolah serta Saya Suka Baca Buku dan gerakan itu dilihat mendapat sambutan ramai.
Zatika yang kini berkhidmat sebagai penterjemah bebas berkata, dia mewujudkan laman Facebook tersebut pada Mac 2010 dan projek pertamanya adalah mengumpul dana daripada rakan-rakan sepejabat sebelum membeli buku-buku yang kemudiannya diletakkan di sudut bacaan di taska.
“Bermula dari situ, GBSM tidak lagi menoleh ke belakang sebelum terbabit dalam beberapa projek berskala besar termasuk menyumbangkan buku kepada Penjara Wanita Kajang, Selangor pada tahun 2011.
“Selain itu, kami turut terbabit dalam projek Ramadan Book Drive di Hospital Serdang, Hospital Rehabilitasi Cheras, Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Ampang, Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Johor dan Dusun Buku di Terengganu sekitar tahun 2016.
“Projek lain termasuk sumbangan buku dan majalah ke Sekolah Integriti Penjara Kajang (2017); projek Troli Solat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (2017) dan projek Troli Ibadah di Institut Kanser Negara (2018).

“Malah, tahun lalu kami terbabit dalam beberapa projek iaitu menyumbang buku kepada Yayasan Chow Kit, projek sudut bacaan di Anjung Singgah Kuala Lumpur dan projek Perpustakaan Mini di Dewan Orang Ramai, Taman Bukit Permai, Cheras.
“Pada Mac lalu pula kami turut menyumbang buku kepada Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” ujarnya.
Menyelami lebih dalam minat wanita itu terhadap buku, Zatika berkata, minat tersebut secara tidak langsung dipupuk arwah bapanya, seorang bekas guru sekolah rendah yang sememangnya suka membeli buku untuk mereka sembilan beradik.
Sebagai anak sulung, Zatika sudah tentu mahu menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adiknya lebih-lebih lagi dia adalah seorang pustakawan sewaktu di sekolah menengah.
“Ayah tahu anak-anaknya suka membaca jadi dia suka belikan buku atau komik kegemaran kami. Biasanya sayalah yang dapat baca dahulu sebab saya anak sulung. Adik-adik lain menunggu giliran dengan sabar.
“Itulah antara kegembiraan yang tidak dapat dilupakan apabila melihat senaskah komik atau majalah Mastika di celah-celah surat khabar yang ayah bawa balik,” ceritanya.
Bercerita lanjut tentang GBSM, Zatika berkata, pihaknya juga menyumbang lebih 500 naskhah buku bagi manfaat pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Zatika berkata, dia tergerak untuk menyumbangkan buku di PKRC MAEPS kerana terfikir bagaimana pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di sana menghabiskan masa tanpa berbuat apa-apa.
“Saya ada menonton sebuah video tular beberapa orang yang dikuarantin membuat video ‘pertunjukan fesyen’ di pusat kuarantin lalu mencetus pertanyaan dalam hati saya, bagaimanakah mereka menghabiskan masa di sini?
“Selepas itu, saya kemudian berkongsi idea dengan ahli GBSM pada 20 Januari lalu sebelum memutuskan untuk menghubungi pihak MAEPS.
“Alhamdulillah, pada 6 Februari lalu, kami berjaya mengumpulkan lebih 500 naskhah buku berserta troli bagi manfaat pesakit di sana,” ujarnya.
Katanya, GBSM mendapat tajaan dan sumbangan buku daripada ahli-ahli sendiri yang mana sebahagian besarnya terbabit dalam bidang penulisan, penerbitan dan penterjemahan. GBSM kini mempunyai seramai kira-kira 2,500 ahli dan setakat ini sudah menyumbangkan lebih 6,000 naskhah buku.
Dalam pada itu, Zatika berkata, dia berharap usaha kecilnya itu dapat memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Mengenai penggunaan troli berwarna biru cair itu, Zatika menyifatkan itu sebagai usaha membentuk identiti dan penyeragaman troli sumbangan GBSM.
Sementara itu, Pengarah PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS, Dr. Shahabuddin Ibrahim berkata, buku-buku yang disumbangkan sememangnya membantu pesakit sewaktu menjalani proses kuarantin.
Katanya, selain daripada menambah ilmu, bahan bacaan seperti buku-buku cerita juga memberi peluang kepada pesakit kanak-kanak dan remaja menambah perbendaharaan kata serta penyusunan ayat dengan baik.

“Hal ini akan dapat memanfaatkan mereka kelak apabila ilmu itu dapat diguna pakai sewaktu melakukan tugasan di sekolah nanti,” katanya.
Tambah Shahabuddin, usaha GBSM secara tidak langsung membantu memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat sama ada dewasa atau kanak-kanak terutama dalam era digital.
“Semua maklum dalam era digital ini, media sosial dan permainan dalam talian memberikan cabaran dalam memupuk minda masyarakat kita.
“Justeru, saya berpendapat usaha ini membantu ‘memisahkan’ mereka daripada tabiat bermain gajet elektronik sepanjang masa dan memupuk minat terhadap bahan bacaan,” ujarnya.
















