SATU ketika dahulu kad raya boleh dikatakan menjadi antara ‘menu’ wajib masyarakat Malaysia setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi menzahirkan ucapan sebagai pengganti diri kala lebaran.
Pada waktu itu, kad-kad raya kelihatan dijual di merata tempat menjelang Ramadan dan menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda.
Peredaran waktu serta perkembangan teknologi semasa membuatkan kad raya semakin tidak relevan dan semakin lenyap apabila ucapan raya kini digantikan dengan penggunaan medium digital seperti WhatsApp dan Facebook atau melalui panggilan video.
Namun bagi seorang pesara guru, Salehudin Mat Rasad, 60, penggunaan kad raya sebagai pengganti diri sebenarnya masih relevan kerana dapat menzahirkan ucapan yang boleh disimpan dan dijadikan sejarah kehidupan.

Bahkan lebih menarik, bapa kepada enam anak itu menyimpan lebih 200 keping kad ucapan raya daripada sultan semua negeri dalam Malaysia serta Sultan Brunei selain pemimpin-pemimpin negara seperti perdana menteri.
Antara koleksi yang tersimpan termasuklah 11 kad Hari Raya Aidilfitri daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang diterima dari Aidilfitri 1428 Hijrah (2007) sehingga 1439 Hijrah (2018).
Kad-kad berwarna kuning raja tertera gambar baginda Sultan Hassanal Bolkiah yang merupakan raja berjiwa rakyat itu disimpan dengan baik dan begitu bermakna baginya.
Salehudin berkata, dia mula mengutus kad ucapan hari raya kepada raja-raja, perdana menteri dan timbalan perdana menteri ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 di Maran, Pahang dari tahun 2002. Bahkan selepas bersara pada tahun 2018 sehingga kini dia masih lagi mengutuskan kad raya kepada baginda-baginda.
“Saya dibesarkan dengan suasana alam persilatan yang mana ketaatan kepada raja dan negara sentiasa diterapkan dalam diri sejak kecil. Dengan cara ini juga sebenarnya dapat menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja, sultan dan pemerintah negara.

“Semasa di sekolah, saya menghantar dua keping kad raya iaitu satu secara peribadi dan satu lagi saya minta para pelajar menandatangani dan menghantarnya sebagai sebahagian usaha menanam semangat kesetiaan generasi muda kepada raja dan negara,” katanya ketika ditemui Panorama di rumahnya di Taman Pedah Jaya, Jerantut baru-baru ini.
Menurut Salehudin, kini dia menyimpan dengan baik koleksi kad balasan ucapan raja-raja dan pemimpin negara dalam tempoh lebih sedekad itu sebagai kenangan dan sejarah bagi dirinya.
Dia memberitahu selain kad raya 11 tahun berturut-turut daripada Sultan Brunei, dia juga menerima balasan kad hari raya lima tahun berturut-turut daripada Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin dan tiga balasan kad hari raya daripada YDPA ke-14 Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Kini koleksi kad ucapan raya balasan daripada baginda-baginda itu masih disimpan baik sebagai kenangan dan rujukan akan datang. Banyak lagi kad balasan baginda sultan, raja serta YDPA dalam tempoh 10 tahun masih disimpan dan ada juga yang hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Salehudin yang juga Pengerusi Persatuan Silat Batin Bambu Rencong berkata, banyak lagi koleksi kad raya termasuklah daripada Sultan Pahang Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar turut disimpannya.

Turut ada dalam koleksinya, kad ucapan hari raya Aidilfitri daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kini merupakan YDPA.
“Ada sekeping kad ucapan selamat Hari raya Aidilfitri sangat istimewa apabila Almarhum Sultan Pahang dan Sultanah berkenan menandatanganinya dan bergambar dengan semua anakanda baginda yang disertakan dengan nama gelaran diraja,”ujarnya.














