PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan semua sekolah di bawah kementerian itu di Negeri Selangor ditutup selama dua hari, bermula esok dan lusa.
Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Izmi Ismail berkata, keputusan itu berikutan persekolahan secara bersemuka hanya berbaki dua hari.
“Ini adalah satu usaha untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19 di Selangor.
“Penutupan sekolah ini berterusan sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri sepertimana yang diumumkan oleh KPM pada 26 April 2021,” katanya dalam satu pekeliling hari ini.
Izmi berkata, pergerakan pulang murid asrama sempena cuti Hari Raya Aidilfitri 2021 adalah sepertimana yang telah dijadualkan oleh pihak sekolah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa.
Kata beliau, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang telah ditetapkan. – K! ONLINE














