SIAPA sangka, sepotong ayat daripada penceramah popular dari seberang, Ustaz Abdul Somad yang dihadam sewaktu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mencetuskan satu inspirasi buat pasangan selebriti popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal. Dari situ mereka mengambil keputusan membina sebuah masjid awam.
Tidak terhenti di situ, Aeril dan Wawa membuka peluang kepada peminat mereka untuk turut bersama-sama menerusi pembelian produk terbaharu keluaran syarikat kosmetik, Wawa Cosmetic yang dilancarkan pada 25 Julai lalu.

Menurut Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, produk tersebut yang diberi nama Muslim Bukhari sepatutnya dilancarkan pada sambutan Hari Raya Aidilifitri lalu, namun terpaksa ditunda sehingga Hari Raya Aidiladha.
“Ada bagusnya pelancaran Muslim Bukhari ini ditunda kerana kini matlamat jualannya sudah berubah.
“Pada mulanya saya dan isteri mahu menggunakan keuntungan jualan untuk membina rumah banglo kedua di Bangi tetapi rasanya, dahulukan pembinaan masjid lebih penting,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Muslim Bukhari di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam, baru-baru ini.
Riak
Saat diasak media tentang maklumat lanjut pembinaan masjid yang terletak di Rengit, Johor iaitu kampung kelahiran aktor berusia 32 tahun itu, Aeril sedikit berhati-hati menyusun kata-kata.
Katanya, dia tidak mahu kelihatan riak atau timbul perasaan menunjuk-nunjuk dalam hal tersebut.
Namun, pada masa sama, Aeril dan Wawa mahu mengajak peminat melaburkan saham akhirat mereka dalam pembinaan tersebut.
Cerita pelakon Cari Aku Di Syurga itu, perbincangan pembinaan masjid tersebut sudah dibuat dengan ketua kampung di lokasi terbabit. Masjid yang bakal dibina sekitar awal tahun depan dijangka mampu menampung 700 orang.
“Kami sudah memberitahu ketua kampung untuk menyalurkan dana penuh bagi pembinaan masjid yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.2 juta.
“Wawa Cosmetics telah mengeluarkan 80,000 unit produk Muslim Bukhari dan jika semuanya habis terjual, keuntungan yang dikutip cukup untuk menampung kos yang diperlukan,” jelasnya.
Tambah Aeril, setiap pembeli produk berkenaan akan dikira sebagai penyumbang dana, jadi tiada istilah masjid tersebut dibina oleh Aeril dan Wawa sahaja.
Melihat kesibukan dan kesungguhan mereka membangunkan perniagaan mereka, timbul tanda tanya adakah semua itu satu petanda bahawa industri seni sudah semakin jauh ditinggalkan.

Lakonan
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin sendiri, sudah empat tahun tidak muncul dalam mana-mana drama atau filem.
Lama tidak bersua, ibu muda berusia 28 tahun itu sedikit teruja berkongsi cerita.
Katanya, tahun ini dia akan mengakhiri tempoh rehat dalam dunia lakonan apabila bakal muncul dalam telefilem berjudul Sabda Kekasih arahan Azhari Zain tidak lama lagi.

“Sebenarnya, saya sekadar suka-suka kerana ditawarkan berlakon bersama Aeril dan telefilem ini diterbitkan oleh syarikat produksi kami, Respected Citizen Sdn. Bhd. jadi jadual lebih fleksibel.
“Jika untuk tawaran luar, saya memang perlu selektif kerana anak-anak masih kecil dan saya berat hati meninggalkan mereka untuk tempoh yang lama. Cukuplah Aeril seorang yang sibuk begitu,” ujarnya lagi.
Kenyataan tersebut disokong oleh si suami. Katanya, cukuplah Wawa melalui hari-hari memenatkan di lokasi penggambaran seperti yang pernah dilalui dahulu.
“Cukuplah dia penat berniaga dan menjaga anak-anak. Jika aktif berlakon akan bertambah pula keletihannya nanti,” ujar Aeril menutup perbualan.















