KULAI – Seorang remaja berusia 14 tahun cedera termasuk tangannya bernanah selepas diserang anjing liar dalam kejadian di Taman Scientex, di sini, baru-baru ini.
Mangsa dikatakan masih mengadu sakit badan walaupun kejadian tersebut sudah dua hari berlalu.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali Mawar, 40, berkata, luka di tangan akibat diserang haiwan liar tersebut dilihat mula bernanah, namun terkawal.
“Alhamdulillah hari ini (luka) anak semakin baik, namun dia mengadu masih sakit badan.
“Mungkin dia terpaksa cuti beberapa hari lagi sementara lukanya sembuh,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang.
Mawar berharap tindakan dapat diambil bagi mengatasi masalah anjing liar di kawasan ini bagi mengelak kejadian serangan berulang.
Dalam pada itu, Bor Yang mengakui isu anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan.
Malah katanya, terdapat komuniti setempat yang membela anjing dan melepas haiwan tersebut di kawasan perumahan berkenaan.
“Keselamatan masyarakat, khususnya kanak-kanak yang berjalan ke sekolah atau pulang ke rumah, tidak boleh dipandang ringan.
“Saya harap mangsa diberi kesembuhan segera dan terus kuat menghadapi situasi berkenaan kerana ia mampu meninggalkan kesan serta trauma kepadanya,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang remaja diserang anjing liar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai menyebabkan mangsa cedera pada pergelangan kaki, tangan dan lutut.














