PETALING JAYA – Penyanyi juga pelakon Aliff Aziz menafikan dakwaan dirinya berasa tersinggung atau ‘koyak’ selepas menyanyikan semula lagu Selesa milik Hael Husaini sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen dalam media sosial
Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 35, menjelaskan bahawa video nyanyian tersebut sekadar sebuah karya muzik dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kisah silam mahupun mana-mana individu.
“Dah nama pun nyanyian semula lagu. Kalian bertenang sedikit, jangan semua perkara hendak ‘terpaling kait’.
“Tiada kena-mengena dengan yang hidup atau yang mati. Perkara ini tidaklah terlalu mendalam,” katanya menerusi ruangan komen sebuah hantaran dalam media sosial.
Pelantun lagu Sayang Sayang itu turut menyindir sikap segelintir netizen yang masih mengaitkan setiap lagu dengan perkara yang sudah lama berlalu.
“Semua lagu mahu dikaitkan dengan perkara yang sudah lama berlalu kalian sebenarnya masih belum melupakan kisah lama.
“Takkanlah kalau hendak menyanyikan semula lagu Twinkle, Twinkle, Little Star pun kalian mahu kaitkan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Aliff mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan ruangan komen sebagai tempat meluahkan sikap negatif hanya kerana tidak menyukai sesuatu karya.
“Banyak lagi ekspresi dalam muzik dan tidak perlu tunjukkan kegelapan hati sendiri dalam ruangan komen.
“Nikmati sahaja nyanyian semula itu atau ‘scroll’ ke hantaran lain jika tidak kena dengan cita rasa kalian,” jelasnya.
Dia turut menegaskan bahawa penjelasan yang diberikan bukanlah disebabkan terkesan dengan kritikan tetapi mahu memperbetulkan tanggapan negatif yang timbul dalam kalangan netizen.
“Eh, mana ada ‘koyak’. Cuma jelaskan sedikit sahaja bahawa perkara ini tiada kaitan langsung dengan hal yang sudah lama berlalu.
“Bertenang kawan-kawan, perkara ini tidaklah terlalu mendalam,” balasnya ringkas dalam sebuah lagi hantaran Threads.
Terdahulu, video Aliff menyanyikan lagu Selesa dengan seorang lagi individu mencuri perhatian ramai dan turut dibanjiri dengan komen negatif ramai sehingga ada yang mengaitkan nyanyiannya dengan kisah lampau. – KOSMO! ONLINE














