Tangkap layar rakaman video memaparkan salah seorag aktivis Surplus cedera akibat dipukul sekumpulan individu di Pasar Pudu, malam tadi.

Dua aktivis Surplus didakwa dipukul di Pasar Pudu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua aktivis Surplus didakwa mengalami kecederaan selepas diserang dan dipukul sekumpulan individu dalam kejadian di Pasar Pudu, di sini, awal pagi tadi.

Kedua-dua aktivis yang dikenali sebagai Abe O Abe dan Abang Eja itu dilaporkan menerima rawatan di hospital susulan kejadian berkenaan.

Berdasarkan siaran langsung yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @rief_syarifuddin malam tadi, kedua-dua aktivis berkenaan didakwa diserang sekumpulan lelaki, selain terdapat cubaan merampas telefon bimbit.

Difahamkan, ketika awal kejadian, aktivis terbabit sedang melakukan siaran langsung di media sosial mengenai lokasi sebuah pusat penyembelihan ayam di sekitar Pasar Pudu sebelum didakwa diserang tujuh individu.

Sementara itu, seorang lagi aktivis Surplus, Zarif Syarafuddin dilaporkan berada di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi awal pagi tadi susulan insiden berkenaan.

Menerusi beberapa rakaman video yang tular di media sosial, salah seorang aktivis terbabit kelihatan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan mulut sehingga berdarah.

Kejadian itu turut mendapat perhatian aktivis masyarakat, Mohd Fadli Salleh yang berkongsi mengenai insiden berkenaan menerusi hantaran di Facebook miliknya.

“Aktivis Surplus dipukul beberapa orang di Pasar Pudu. Samseng dipercayai diupah oleh warga asing. Kejadian baru berlaku sebentar tadi,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Setakat ini, Kosmo! masih dalam usaha mendapatkan pengesahan serta maklum balas daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu, pada 18 November lalu, Kosmo! melaporkan kumpulan aktivis Surplus mendedahkan keadaan beberapa pusat penyembelihan ayam di sekitar Pasar Pudu yang didakwa tidak menitikberatkan aspek kebersihan.

Malah, premis terbabit turut didakwa menggunakan khidmat tukang sembelih yang belum memperoleh Sijil Tauliah Penyembelihan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pada Oktober lalu, kumpulan aktivis sama turut membangkitkan isu kaedah penyembelihan ayam yang meragukan di kawasan berkenaan sehingga mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menjalankan siasatan bersama pihak berkuasa tempatan.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN