BATU PAHAT – Bekas Menteri Besar Johor ke-14, Tan Sri Abdul Ghani Othman menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan pada sidang Konvokesyen ke-26 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Dewan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Istiadat Konvokesyen tersebut disempurnakan oleh Pro-Canselor UTHM, Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani yang turut menganugerahkan Ijazah Kehormat tersebut kepada Abdul Ghani.
Penganugerahan kepada Abdul Ghani itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang akademik, pentadbiran awam, pembangunan ekonomi dan kepimpinan korporat.
Beberapa anugerah lain seperti Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor, Anugerah Tan Sri Datuk Paduka Hajjah Aishah Ghani, BEM President Award, Anugerah Akademik Yayasan UTHM, Anugerah Khas Alumni UTHM, Anugerah Khas Alumni Anak Sarawak dan Anugerah Keusahawanan UTHM Holdings akan disampaikan kepada graduan dalam konvokesyen ini.
Turut disampaikan adalah Anugerah Usahawan Muda Koperasi UTHM, Anugerah Wakaf dan Endowmen, Anugerah Projek Sarjana Muda / Projek Tahun Akhir Terbaik, Anugerah Tesis Terbaik Pascasiswazah (Ijazah Kedoktoran), Anugerah Tesis Terbaik Pascasiswazah (Sarjana Penyelidikan), Anugerah Kecemerlangan Industri: PhD (Kejuruteraan dan Teknologi) dan Anugerah Kecemerlangan Industri : Sarjana (Kejuruteraan dan Teknologi) turut diberikan kepada graduan terpilih.
Seramai 4,917 graduan UTHM menamatkan pengajian masing-masing melalui sidang konvokesyen tersebut bermula hari ini hingga 3 Disember ini.
Ia akan meraikan graduan daripada pelbagai peringkat pengajian merangkumi 158 graduan doktor falsafah, 499 graduan sarjana, 3,505 graduan sarjana muda dan 755 graduan diploma. – KOSMO! ONLINE














