ALOR SETAR – Seorang guru yang menjadi ejen skim penjualan emas diarahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membayar RM1.5 juta kepada 15 mangsa.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Dr. Mohammad Johan Lee selepas membenarkan tuntutan dibuat plaintif yang kebanyakannya adalah penjawat awam. Difahamkan, kebanyakan mangsa adalah guru yang juga rakan kepada orang kena saman (OKS).
Peguam Mahmud Jumaat yang mewakili mangsa berkata, berdasarkan fakta kes, anak guamnya tertarik dengan pembelian emas pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran yang ditawarkan OKS.
“Apa yang menarik dalam kes ini, individu yang disaman adalah guru sekolah rendah.
Dalam pembelaannya, guru itu mendakwa beliau hanya ejen atau orang tengah.
“Beliau memaklumkan hanya mempromosikan jual beli emas bagi pihak penganjur skim, Siti Hajartul Haini Abd Hamid,” katanya di sini.
Mahmud berkata, tawaran menarik itu mendorong anak guamnya mengeluarkan wang mencecah ratusan ribu ringgit setiap seorang untuk melabur dalam skim berkenaan.
Katanya, ejen itu mendakwa peranannya hanya menyampaikan maklumat dan tawaran jual beli emas yang diberikan oleh Siti Hajartul kepada pembeli.
“Mahkamah menolak pembelaan itu selepas mendapati wujud hubungan kontraktual antara guru dan plaintif apabila pembayaran wang dibuat secara langsung ke dalam akaun peribadi dan akaun perniagaannya.
“Mahkamah turut mendapati guru itu bertanggungjawab terhadap kegagalan menyempurnakan obligasi kontraktualnya dan memulangkan wang pembelian yang sudah diterima daripada plaintif,” katanya.
Mahkamah memerintahkan guru itu membayar RM1.5 juta kepada 15 plaintif berdasarkan jumlah wang pembelian yang berjaya dibuktikan sepanjang perbicaraan.- KOSMO! ONLINE














