ARAU – Setiap kali terbayangkan wajah arwah ibunya, seorang remaja berusia 13 tahun akan membacakan surah al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada wanita itu yang maut dalam kemalangan pada Isnin lalu.
Ku Haris Zaquan Ku Sofian berkata, pesanan ibunya, Allahyarham Noryshah Umar supaya menuntut ilmu dunia dan akhirat sentiasa segar dalam ingatan, malah semakin kerap diucapkan kira-kira seminggu sebelum mangsa meninggal dunia.
“Saya akan sentiasa ingat selain pesanan supaya mendengar cakap orang tua serta menjadi orang yang baik.
“Antara kenangan yang kerap bermain di fikiran saya apabila emak pulang dari kantin (tempat bekerja), dia akan meminta saya mengedarkan makanan kepada jiran-jiran di sekitar kampung,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.
Remaja yang mesra disapa Aris berkata, dia begitu rapat dengan arwah ibunya. Ku Haris mendapat perhatian ramai selepas video dia berada di sisi jenazah ibunya di lokasi kemalangan tular di media sosial.
Dalam kejadian pada pukul 4.40 petang itu, Noryshah, 47, maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas dan merempuh sebatang pokok ketika dalam perjalanan pulang selepas singgah membeli persiapan sambutan hari lahir anak bongsunya, Ku Haris.
Selepas kematian ibunya, Ku Haris tinggal bersama bapa tiri, kakak, abang, kakak ipar serta anak saudaranya yang berusia lima tahun di Kampung Tebuk Tengah di sini.
Sementara itu, adik bongsu Noryshah, Khairul Azhar, 39, menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang pemurah kerana selalu berkongsi rezeki dengan jiran-jiran.
“Keadaan Aris semakin baik walaupun pada awalnya dia terkejut dengan pemergian ibunya. Ramai yang datang ziarah menziarahi Aris termasuk guru-guru,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu Ku Haris boleh berbuat demikian menerusi akaun e-dompet Touch ‘n Go bernombor 160518839468 atau Bank Islam kakaknya, Fatin Atikah Mohamad Tarmezi (02123020085469).














