SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Hinggap Seremban pada pukul 3 petang ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.
Ahmad Zahid sempat melambai ke arah pengamal media yang menantikan ketibaannya di perkarangan istana berkenaan.
Selain Ahmad Zahid, Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menghadap Tuanku Muhriz.
Terdahulu, kenderaan yang membawa Mohamad Hasan memasuki pekarangan istana sekitar pukul 2.43 petang.
Difahamkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyertai pertemuan menghadap Tuanku Muhriz itu.
Sebelum ini, media melaporkan sumber memaklumkan tujuan pertemuan itu adalah untuk mengemukakan keputusan parti yang dicapai menerusi mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.-KOSMO! ONLINE














