KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan berusia 29 tahun cedera selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di PPR Seri Pantai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa kini menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tangan kanan, namun keadaannya dilaporkan stabil.
“Barang peribadi mangsa ditinggalkan di tingkat 21 Blok 100 PPR Seri Pantai,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Beliau berkata, mangsa bukan penghuni PPR Seri Pantai sebaliknya berasal dari Segambut, Kuala Lumpur.
“Setakat ini, belum ada keterangan saksi diambil. Pihak polis sedang mengesan waris mangsa bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














