KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini berhujah bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pengetahuan mengenai sumber wang berjumlah RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi sengaja “menutup mata”.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, ini kerana kekerapan kemasukan wang dalam amaun yang besar yang sangat kerap melibatkan nombor siri cek berturutan ke dalam akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu sepatutnya menimbulkan kecurigaan.
“Dalam kes ini, tertuduh “wilfully shut his eyes on what is obvious” (memejamkan mata dengan perkara yang jelas). Jika tertuduh mengambil sedikit effort (usaha) untuk mengambil tahu sumber wang RM25.3 juta tersebut, sudah tentu tertuduh akan tahu bahawa transaksi adalah melibatkan individu atau syarkat-syarikat yang sama yang memohon sokongan.
​”Tertuduh bukanlah boneka sebaliknya mempunyai kawalan dan akses terus kepada akaun parti. Kegagalan tertuduh memastikan sumber wang RM25.3 juta itu merupakan satu kelakuan susulan (subsequent conduct) yang membuktikan beliau mengetahui sumber wang tersebut bukan daripada sumber yang sah (legitimate),” kata Wan Shaharuddin.
Hari ini merupakan hari pertama hujahan lisan pendakwaan berhubung tiga pertuduhan Muhyiddin di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin.
Hujah pihak pendakwaan, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan daripada pihak bank transaksi RM25.3 juta itu melibatkan kemasukan cek daripada tiga individu iaitu SP20 (sebanyak RM19.5), ​SP27 sebanyak (RM4.8 juta) serta SP21 sebanyak (RM1 juta).
Sementara itu, berhubung dengan peristiwa di Tropicana Golf Club, hujahan lanjut turut menyatakan kemasukan dana berkenaan tidak boleh dipisahkan dengan peristiwa itu apabila tertuduh secara spontan memaklumkan kepada SP27 bahawa mana-mana ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia atau kontraktor yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya terus kepada Bersatu.
“​Keterangan SP27, SP20 dan SP21 sebelum ini turut menafikan bahawa wang RM25.3 juta itu adalah derma politik semata-mata, sebaliknya mengesahkan ia diberikan sebagai balasan selepas syarikat-syarikat memperoleh projek di bawah program Jana Wibawa yang dimohon,” kata hujahan itu lagi.
Justeru, pihak pendakwaan memohon mahkamah menilai keseluruhan keterangan ikut keadaan secara kumulatif bagi membuktikan terdapat kaitan rapat antara tindakan tertuduh memudahkan ketiga-tiga syarikat terbabit.
Ia yang mana ketiga-tiga syarikat itu memasuki proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan.
Dalam prosiding hari ini Muhyiddin diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin.
Mahkamah menetapkan 1 Disember ini bagi hujahan lisan pembelaan.
Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman Yusoff berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang berkaitan dengan sebuah entiti. – KOSMO! ONLINE














