Keadaan awan tsunami yang dirakam sekitar Kuala Terengganu petang semalam.

Awan ‘tsunami’ gemparkan penduduk Pantai Timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Fenomena awan menyerupai tsunami yang mencetuskan kebimbangan penduduk di sekitar bandar raya ini lewat petang semalam merupakan fenomena meteorologi yang dikenali sebagai awan rak atau shelf cloud.

Pakar Sains Atmosfera Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, fenomena tersebut lebih kerap berlaku di Pantai Timur ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) berikutan kejadian hujan lebat yang lebih kerap.

Menurutnya, pemandangan menakjubkan itu terbentuk apabila udara panas di sekeliling bertembung dengan udara sejuk yang turun daripada awan.

“Disebabkan udara sejuk lebih tumpat berbanding udara panas, udara panas akan terangkat ke paras atmosfera yang lebih tinggi.

“Biasanya udara panas lebih lembap dan apabila terangkat ke paras lebih tinggi, kelembapannya akan mengalami kondensasi dengan lebih cepat sehingga terbentuknya pemandangan awan yang menakjubkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jing Xiang berkata, kemunculan awan rak lazimnya menjadi petanda kedatangan angin kencang dan lebih sejuk sebelum disusuli hujan lebat serta ribut badai.

Katanya, meskipun menyajikan pemandangan menarik, fenomena tersebut boleh membahayakan keselamatan orang ramai dalam tempoh singkat berikutan angin kencang dan hujan lebat.

“Apabila melihat awan seperti ini, sebaik-baiknya jauhi kawasan pesisiran pantai,” katanya.

Beliau berkata, fenomena awan rak turut berlaku di Pantai Barat Semenanjung, namun lebih lazim ketika musim Monsun Barat Daya dan diiringi fenomena dikenali sebagai garis badai Sumatera.

Semalam, tular di media sosial perkongsian pengguna yang meluahkan kebimbangan selepas melihat pembentukan awan menyerupai gulungan ombak gergasi di sekitar Kuala Terengganu lewat petang.

Bagaimanapun, tiada kejadian ribut atau hujan lebat berlaku di kawasan berkenaan sejak petang semalam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN