PETALING JAYA – Pelakon Faezah Elai meluahkan rasa kesal terhadap segelintir netizen yang mempertikaikan peranan dan statusnya sebagai ibu tiri kepada tiga anak suaminya, Heykal Hanifah.
Faezah atau nama sebenarnya Noor Faezah Md. Elai, 44, berkata, tidak semua anak daripada keluarga bercerai dibesarkan oleh ibu kandung sebaliknya ada juga yang berada di bawah jagaan bapa dan ibu tiri.
“Ini khas untuk puan-puan yang mana kalau bercakap ataupun komen, mulut pergi dulu sebelum otak sebab otak tertinggal dekat jamban masa tengah membuang air besar. Dengar sini.
“Bukan semua orang yang bercerai mak mereka yang jaga.
“Ada juga yang bapa mereka ambil bela dan yang besarkan adalah mak tiri iaitu saya,” katanya menerusi satu hantaran video.
Dia juga menolak tanggapan negatif masyarakat terhadap golongan ibu tiri yang sering dilabel kejam dan menzalimi anak-anak bukan darah daging sendiri.
“Bukan semua mak tiri ini jahat ya. Kalau mak tiri ini jahat, tidak adalah mak mereka datang beri saya jaga anak dia ketiga-tiga orang itu. Faham?
“Saya ini yang jaga mereka, makan, pakai, sekolah.
“Jadi saya tidak perlukan pengesahan (validation) sesiapa untuk muat naik tentang anak-anak tiri saya, faham tidak? Walaupun pengesahan itu daripada mak mereka, tidak perlu,” katanya lagi.
Tambahnya, ibu kandung kepada anak-anak tiringa juga tidak pernah berkecil hati dengan perkongsiannya dalam media sosial kerana memahami tanggungjawab yang dipikul selama ini.
Malah, dia menegaskan sudah menganggap anak-anak tirinya seperti darah dagingnya sendirinya.
“Mak mereka pun tidak kata apa, tidak pernah terasa hati sebab dia tahu sayalah yang jaga. Jadi anda semua tidak payahlah kalut.
“Saya sendiri pun tidak pernah sebut yang mereka adalah anak tiri, tidak pernah.
“Jadi anda pula beritahu saya, oh kenapa nak kena tulis ‘anak perempuan saya’ (my daughter)? Memang anak perempuan sayalah. Habis itu takkan pula saya nak tulis bapa anda itu anak saya pula, kan?” jelasnya.
Pada masa sama, Faezah mengingatkan netizen supaya berfikiran lebih matang sebelum mengeluarkan sebarang komen selain tidak terlalu sibuk mencampuri urusan rumah tangga orang lain.
“Jadi kalau bercakap itu pastikan otak sampai dulu, baru mulut keluar bercakap. Sebab kalau mulut pergi dulu nampak sangat tidak berapa nak cerdik.
“Siapalah suami anda semua, dia tidak marah ke sibuk hal orang?” tegasnnya.
Difahamkan, perkara tersebut tercetus selepas dia memuat baik hantaran kejayaan anak tiri yang dijaga sejak usia 11 tahun kini berjaya bergelar peguam.
Dalam hantaran tersebut, dia menulis ‘nak beritahu, anak perempuan saya kini seorang peguam’ sekaligus membuatkan segelintir individu merasa kurang senang mengenainya.
Untuk rekod, Faezah mendirikan rumah tangga bersama pengarah popular, Heykal Hanifah pada 9 September 2011.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Dealova Heyrinna dan Auroroa Heyrinna.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Heykal mempunyai tiga orang anak iaitu Luqman Hakim, Sarah Heyrissa dan Luq Adam Heydhani. – KOSMO! ONLINE














