PETALING JAYA – Penjenayah curi kabel kini semakin berani apabila melakukan perbuatan itu secara terang-terangan di khalayak pada waktu siang.
Sebelum ini, jenayah itu dilakukan secara tersembunyi dalam kumpulan kecil di kawasan terpencil yang jauh daripada perhatian orang ramai.
Perubahan modus operandi itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket terancang yang memiliki rangkaian yang luas termasuk pembeli logam berharga tersebut.
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid tidak menolak wujud rangkaian sindiket mencuri kabel dengan setiap ahlinya mempunyai peranan masing-masing bagi melicinkan operasi mereka.
“Pihak berkuasa perlu melihat isu ini melangkaui pencuri di lapangan. Siapa yang biaya kegiatan ini? Siapa pembelinya dan ke mana kabel curi ini disalurkan (dijual)?
“Selagi ada pasaran dan pihak membeli kabel curi, kegiatan ini akan terus menguntungkan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, tindakan penjenayah curi kabel merempuh orang awam seperti yang tular di media sosial kelmarin, menunjukkan penjenayah bukan hanya mencuri harta benda, tetapi turut mengancam keselamatan dan nyawa orang ramai.
Oleh itu, katanya, dalam usaha membanteras kegiatan ini, pihak berkuasa perlu menumpukan kepada keseluruhan rangkaian, bukan sekadar menangkap individu yang melakukan kecurian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan penjenayah curi kabel semakin berani kerana persepsi risiko ditangkap lebih rendah berbanding keuntungan yang bakal diperoleh hasil menjual logam itu di pasaran gelap.
Sementara itu, pakar dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Dr. Zalmizy Hussin berkata, kegiatan itu dijangka terus berleluasa berikutan terdapat pihak yang membeli barang curi tersebut.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket mempunyai rangkaian yang tersusun daripada pencuri di lapangan sehingga pembeli dan dalang yang mengaut keuntungan besar menerusi kegiatan haram itu.
“Saya melihat isu ini bukan lagi kes kecurian kecil. Ia merupakan jenayah terancang yang melibatkan sindiket, ketagihan dadah dan tekanan ekonomi keluarga,” katanya.
Menurut Zalmizy, terdapat tiga punca yang dikenal pasti dalam kes kecurian kabel yang semakin menjadi-jadi ketika ini termasuk hukuman tidak setimpal dengan kerugian yang dialami mangsa.
Jelasnya, Seksyen 431A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda dan dalam kebanyakan kes sebelum ini, pesalah hanya dikenakan hukuman denda RM300 hingga RM1,000 sahaja.
“Bayangkan, mereka mencuri kabel yang menyebabkan kerugian RM50,000 hingga RM100,000 kepada Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia dan Jabatan Kerja Raya, tetapi hukuman yang diterima hanya beberapa ratus ringgit (denda).
“Bagi mereka (penjenayah), kos melakukan jenayah ini sangat rendah, tetapi pulangannya begitu tinggi. Sebab itu mereka tidak takut. Tangkap hari ini, esok keluar, lusa mereka akan mencuri semula,” ujarnya.
Jelas Zalmizy, taktik kedua adalah penyamaran yang mana penjenayah melakukan perbuatan itu secara terbuka dengan menyamar sebagai pekerja syarikat utiliti.
“Mereka memakai jaket keselamatan, baju berlogo syarikat, topi keselamatan dan menggunakan lampu beacon. Jadi penduduk menyangka mereka adalah kakitangan yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.
Selain itu, penjenayah curi kabel bergerak dalam kumpulan yang besar dan terancang seperti yang berlaku di Kangar, Perlis pada 17 November lalu melibatkan tujuh individu.
“Dalam kumpulan itu, ada (suspek) yang memotong kabel, ada yang memantau keadaan atau dipanggil ‘jaga air’ dan pihak yang bertanggungjawab membawa lari kabel.
“Apabila bergerak dalam kumpulan yang besar, ahli-ahlinya berasa lebih selamat dan berani. Jika pihak polis datang, mereka lari mengikut arah yang berbeza. Ini akan menyukarkan tangkapan dibuat ke atas mereka.
“Secara kesimpulannya, mereka bukan semakin berani secara tiba-tiba.
“Mereka berani kerana sistem kita membenarkan mereka berani melakukan perbuatan itu disebabkan hukuman ringan, penyamaran yang meyakinkan, dan kerja berkumpulan yang terancang,” ujarnya.
















