PETALING JAYA – Dakwaan kebocoran soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 bagi mata pelajaran Pendidikan Moral mencetuskan kebimbangan ramai susulan beberapa tangkap layar yang tular di media sosial hari ini.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads menggunakan nama @sh1man_, beberapa gambar yang didakwa merupakan kertas soalan berserta skema jawapan peperiksaan berkenaan dikongsikan bagi menarik perhatian pihak berkuasa.
“Sulit ke SPM? Semalam Bahasa Inggeris, hari ini Moral siap ada kertas,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.
Pengguna berkenaan turut menandai akaun rasmi Lembaga Peperiksaan dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek bagi mendapatkan perhatian berhubung dakwaan itu.
Antara tangkap layar yang dikongsikan memaparkan perbualan menerusi aplikasi WhatsApp mengandungi gambar dipercayai kertas soalan, selain senarai topik dan dokumen menyerupai skema pemarkahan bagi mata pelajaran Pendidikan Moral.
Susulan perkongsian tersebut, Lembaga Peperiksaan menerusi akaun rasminya di Threads tampil memberikan maklum balas dengan meminta individu berkenaan mengemukakan maklumat lanjut bagi tujuan siasatan.
“Terima kasih atas makluman. DM (mesej peribadi) kami untuk maklumat dan siasatan lanjut,” katanya.
Individu terbabit kemudiannya membalas komen tersebut dengan memaklumkan bahawa dia mempunyai semua bukti berkaitan dakwaan berkenaan.
Sementara itu, perkongsian tersebut meraih lebih 30,000 tontonan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai integriti peperiksaan serta keadilan terhadap calon yang bertungkus-lumus membuat persediaan menghadapi SPM.
Bagaimanapun, kesahihan dokumen yang tular serta dakwaan kebocoran soalan berkenaan masih belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE














