IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menyiasat dakwaan terdapat pengurusan masjid enggan menerima jenazah untuk diuruskan kerana si mati atau waris bukan ahli khairat kematian masjid berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aduan rasmi perlu dikemukakan kepada JAIPk bagi membolehkan siasatan dijalankan sebelum tindakan sewajarnya diambil.
“Yang Berhormat Sungai Manik, saya harap mengenai perkara ini aduan rasmi kena dibuat untuk membolehkan JAIPk menyiasat dan melihat kepada kebenaran cerita berkenaan dan tindakan perlu diambil,” katanya.
Beliau yang juga Exco Agama Islam negeri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (BN-Sungai Manik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.
Zainol berkata, terdapat dakwaan jawatankuasa masjid enggan membenarkan jenazah diuruskan di premis berkenaan sekiranya keluarga si mati tidak menggunakan kemudahan khairat kematian masjid.
Sehubungan itu katanya, ia menyukarkan waris yang mendapat bantuan pertubuhan bukan kerajaan untuk menguruskan jenazah, termasuk proses mandi, mengkafan dan solat, tetapi masih memerlukan kemudahan masjid.
Terdahulu Saarani berkata, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan permohonan pembinaan rumah pengurusan jenazah di masjid berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak.
Bagaimanapun, katanya, kemudahan itu perlu diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan antara masjid dan surau dalam satu kariah.
“Ada juga kes satu kariah yang ada satu masjid dan tiga surau, namun ketiga-tiga surau pun hendak juga. Jenuhlah kita sampai empat rumah pengurusan jenazah.
“Satu sahajalah kita beri kepada masjid… (Namun) tetap boleh memohon Yang Berhormat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol).














