Tangkap layar video seorang lelaki didakwa menyiku seorang individu dalam kejadian di Pasir Panjang, Terengganu.

Tiga ditahan kes tumbuk, siku warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian keganasan jalan raya di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan berusia antara 39 hingga 44 tahun.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan kira-kira pukul 5 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati sebuah kereta Perodua Alza dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Skoda yang dipandu seorang wanita.

“Susulan kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 62 tahun yang merupakan suami dan penumpang kereta berkenaan telah keluar untuk melihat keadaan kereta namun telah diserang oleh individu yang berada di dalam kereta Perodua Alza terbabit.

“Individu berkenaan dipercayai telah bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan tumbukan, siku dan tendangan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, hidung dan mulut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azli berkata, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.

Kosmo! Online semalam melaporkan mengenai video tular di Facebook yang memaparkan warga emas berkenaan dipukul oleh penumpang Perodua Alza sehingga menerima maklum balas pengguna Facebook yang mengecam lelaki berkenaan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN