ROKEEYAH (kiri) menyerahkan anak bongsunya, Helmi Al Faqih yang menghidap sindrom Goldenhar kepada anggota APM untuk dipindahkan berikutan air banjir masuk terlalu laju ke dalam rumah di Taman Uda Murni, Tok Jembal, Kuala Nerus kelmarin.

‘Air menderu masuk ke rumah, cecah paras lutut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – “Keadaan lebih membimbangkan kerana saya mempunyai anak istimewa yang menghidap sindrom Goldenhar dan perlu diberi perhatian ketika proses pemindahan.”

Demikian ujar Rokeeyah Sa­lae, 37, yang mempunyai anak istimewa, Helmi Al Faqih Helmi Saifudin berusia lima bulan yang menghidap sindrom tersebut.

Mereka antara beberapa penduduk di Taman Uda Murni, Tok Jembal, di sini yang terjejas banjir apabila kediaman mereka dinaiki air secara mendadak susulan hujan lebat petang kelmarin.

Rokeeyah berkata, meskipun sudah membuat persediaan awal, dia tidak menyangka air naik begitu pantas sehingga mencecah paras lutut di dalam rumahnya.

“Keselamatan empat anak saya menjadi keutamaan terutama Helmi Al Faqih yang menghidap sindrom Goldenhar.

“Air naik dengan cepat petang semalam sehingga masuk ke dalam rumah. Saya memang sudah bersiap-siap mengemas barang sejak semalam kerana bimbang banjir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tukang masak itu berkata, sepanjang empat tahun menyewa di kawasan berkenaan, dia sudah beberapa kali terpaksa berpindah akibat banjir.

Akhbar ini pada 24 Oktober lalu melalui ruangan Kosmo! Prihatin melaporkan, sepasang suami isteri gundah memikirkan nasib bayinya yang dilahirkan dengan penyakit jarang jumpa itu.

Seorang lagi mangsa, Zabedah Umar, 72, berkata, kejadian banjir bukan lagi sesuatu yang asing baginya sejak menetap di kawasan tersebut pada 1975.

“Kawasan kediaman saya dilanda banjir sebanyak dua kali tahun lalu, namun kali ini air naik agak pantas sehingga memasuki rumahnya sekitar pukul 5 petang setinggi buku lali.

“Kalau hujan lebat, air cepat naik kerana longkang di kawasan ini rendah dan tidak mampu ­menampung jumlah air yang banyak.

“Kadang-kadang hujan sekejap sahaja tetapi air sudah masuk ke dalam rumah. Kami memang bimbang apabila cuaca tidak menentu ketika ini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN