SITI ZAHARAH menunjukkan air laut yang hanya berjarak lima meter dari dapur rumahnya di Kampung Permata, Pontian semalam. – MUHAMMAD ZIKRI

Penduduk Pontian resah, tidak lena tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hari ini di beberapa kawasan di daerah ini meresahkan penduduk dan mereka tidak nyenyak tidur apabila mendengar bunyi ombak dan desiran hujan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pontian mengenal pas­ti lokasi terbabit di Kampung Permata berhampiran bandar Pontian dan Lorong Sulaiman di Kampung Rimba Terjun.

Seorang penduduk di Kampung Permata, Siti Zaharah Jusoh, 57, berkata, rumah yang di­diami sejak 30 tahun lalu itu semakin hampir dengan pantai disebabkan berlakunya hakisan setiap tahun disebabkan ombak besar.

“Sebelum ini jarak antara ru­mah saya dengan kawasan pan­tai dianggarkan 100 meter, na­mun kini bahagian dapur dipisah­kan tanah selebar lima meter sahaja, sudah semakin dekat.

“Sebelum ini, saya dan keluarga pernah mengalami kejadian ombak besar berserta ribut yang menyebabkan air memasuki ke dalam rumah sehingga paras buku lali selain zink rumah diterbangkan angin.

“Saya tiada tempat lain untuk didiami, tanah pun tiada, terpaksa pasrah dengan kejadian fenomena air pasang dan berharap tiada kejadian buruk berlaku tahun ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dia yang tinggal empat beranak di rumah tersebut berkata, dia ada membuat persiapan de­ngan meletakkan barangan pen­ting di tempat tinggi seperti kad pengenalan, buku akaun bank dan sebagainya.

Seorang lagi penduduk, Mohammad Haiqal Mohd. Hanafi, 35, berkata, ayahnya telah me­ninggikan bahagian dapur untuk mengelakkan air memasuki rumah ketika air pasang besar berlaku nanti.

Katanya, bahagian dapur ru­mah itu juga terletak hampir de­ngan pantai dan dia sekeluarga telah bersedia dengan segala ke­mungkinan sekiranya berlaku fenomena air pasang besar se­perti dimaklumkan.

Menurutnya, pernah berlaku kejadian air pasang besar di mana air laut melimpah sehingga ke bahagian halaman, namun air tidak masuk ke dalam rumah kerana bahagian dapur telah di­tinggikan.

“Semalam (kelmarin) keadaan masih elok, walaupun berlaku fenomena air pasang besar tetapi tidak tinggi. Kami tetap berwaspada dengan segala kemungkinan,” ujarnya.

Mengikut hebahan pihak JPS Pontian, fenomena air pasang dijangka bermula hari ini hingga Jumaat di beberapa lokasi se­perti Pekan Kukup Laut, Taman Negara Tanjung Piai, Jalan Taib di Bandar Pontian dan Pekan Benut.

Lokasi yang turut berisiko jika cuaca hujan lebat dengan feno­mena air pasang besar berlaku adalah Pusat Perdagangan Pontian, Kampung Permata, Taman Sri Pantai dan Lorong Sulaiman, di Kampung Rimba Terjun.

Ketinggian air pasang besar pula boleh mencecah setinggi 3.5 hingga 3.6 meter sepanjang tempoh tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN