Di pinggir ibu kota Afghanistan yang sibuk, Kabul, Muhammad Saber Shojaei meneruskan tradisi berusia berabad-abad dengan mengawet buah anggur untuk dimakan apabila tiba musim sejuk nanti.
Dalam keadaan bercangkung, Muhammad Saber sibuk memasukkan anggur ke dalam ‘kangina’ iaitu bekas berbentuk seperti cakera yang diperbuat daripada tanah liat dan jerami.
Situasi itu secara tidak langsung mengimbau kembali kenangan Muhammad Saber bersama arwah bapanya iaitu individu yang bertanggungjawab mengajarnya teknik tersebut.
“Saya teringat zaman dahulu, ketika kami duduk bersama di sekeliling sandali (dapur pemanas), menikmati anggur daripada kangina sambil bergembira,” ujar lelaki berusia 47 tahun dari daerah Kalakan itu.
Selepas meletakkan segugus anggur secara berhati-hati ke dalam salah satu kangina, Muhammad Saber terus menutup bahagian atasnya.
Kangina itu kemudian ditampal menggunakan lumpur di sekelilingnya, sebelum disimpan dalam bilik stor yang gelap.
“Dengan cara ini, kangina mampu mengekalkan kesegaran anggur dari sekarang hingga musim bunga,” ujar Muhammad Saber yang menghasilkan kira-kira 700 bekas kangina berisi anggur setiap tahun untuk dijual di tepi jalan.
Tiada siapa yang tahu dengan tepat sejak bila kangina mula digunakan di Afghanistan.
Namun, ia dianggarkan telah wujud sejak berabad-abad lamanya dengan ilmu pembuatannya diwarisi secara turun-temurun.
Semasa musim menuai, anggur yang ingin dijual akan dibungkus di dalam beg plastik besar atau dilonggok tinggi di dalam lori untuk dibawa ke pasaran luar.
Namun, hasil tuaian anggur yang melimpah telah mengundang masalah di Afghanistan.
Ini memandangkan, kemudahan stor sejuk beku untuk mengekalkan kesegaran hasil tanaman amat terhad, manakala laluan eksport ke Pakistan pula terputus akibat konflik rentas sempadan.
Salah seorang peniaga, Farhad Ezati, 21, berkata, para petani tidak mampu menampung kos mereka pada tahun ini kerana harga anggur menjunam sebanyak 70 peratus akibat penutupan sempadan hingga mencetuskan lambakan bekalan.

Farhad memaklumkan, persaingan dalam kalangan penjual sangat sengit, sambil berdiri di ladang yang menghijau ketika para pekerja membungkus anggur ke dalam kotak.
“Anggur Afghanistan adalah yang terbaik. Ia mempunyai kualiti yang sangat tinggi dan rasanya amat sedap,” ujarnya.
Hakikatnya, kaedah kangina yang memerlukan tenaga kerja intensif serta mudah pecah tidak mampu mengatasi masalah penyimpanan atau perdagangan berskala besar.
Namun pada kemuncak musim sejuk, penduduk Afghanistan yang tinggal berhampiran ladang anggur boleh membelinya di tepi jalan atau di pasar berdekatan.
Sementara keluarga petani pula boleh memecahkannya untuk menikmati anggur segar.
Ketua komuniti Kalakan, Gulagha Frotan berkata, penduduk akan menunggu sehingga salji atau hujan turun untuk menikmatinya.
“Kami tidak membasuh anggur ini kerana bimbang akan hilang kualiti semula jadinya.
“Kami hanya meniup habuk atau menggoncangnya secara perlahan. Selepas itu, ia sedia untuk dimakan,” ujar warga emas berusia 61 tahun itu.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), meskipun mempunyai sejarah panjang di kawasan Kabul, amalan itu kini turut dipraktikan di wilayah lain, termasuk Parwan.
Wakil agensi itu, Ezatullah Noori berkata, selain faktor cuaca sejuk, populasi penduduk yang ramai di kawasan tersebut membolehkan petani tidak perlu bergerak jauh untuk menjual kangina.
“Terdapat potensi untuk petani menjual sebahagian anggur mereka, daripada membiarkan rosak dan rugi ketika musim pengeluaran puncak,” kata Noori.
Dia juga menggesa agar kajian saintifik dijalankan bagi memahami warisan unik itu dengan lebih mendalam, di samping usaha tersusun untuk membantu petani bekerjasama memasarkan kangina pada skala lebih besar.
“Saya bimbang jika suatu hari nanti tradisi ini akan lenyap dari negara kami dan tiada siapa lagi yang tahu cara menghasilkannya.
“Kita harus memastikan budaya ini terus hidup,” katanya. – AFP














