LUMUT – Seorang lelaki maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di kawasan kebun dekat Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan lelaki warga Myanmar yang tidak sedarkan diri di rumah berkenaan pada pukul 8.27 pagi.
Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan sebelum menjumpai mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
“Bertindak atas maklumat, dua lelaki warganegara sama ditahan pada pukul 11 pagi hingga 8 malam. Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














