Mohd. Yusri (tengah) pada sidang akhbar kejayaan Ops Salju di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Kaut untung RM10,000 sehari, gaji pekerja bukan Islam jadi tukang sembelih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Empat buah premis dikesan menggaji pekerja bukan Islam untuk melakukan penyembelihan dalam operasi besar-besaran Op Salju baru-baru ini.

Operasi besar-besaran itu turut mendedahkan terdapat sindiket penyembelihan haram didalangi pekerja bukan Islam yang mampu mengaut keuntungan hingga RM10,000 sehari.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak lapan premis diserbu dalam operasi berkenaan.

“Separuh daripada pusat sembelihan itu menggunakan khidmat pekerja bukan Muslim untuk menyembelih bekalan daging pasaran, manakala empat premis lagi menggaji pekerja beragama Islam.

“Dalam Islam, penyembelihan ini bukan sekadar memotong. Ia adalah ibadah dan mempunyai syarat wajib, antaranya penyembelih mestilah Muslim, berakal dan menyebut nama Allah ketika menyembelih.

“Apabila penyembelihan dilakukan oleh mereka yang tidak memenuhi syarat ini, sembelihan itu tidak sah dan daging itu tidak halal. Apabila daging tidak halal masuk ke pasaran, ia mengkhianati kepercayaan umat Islam. Ini adalah isu akidah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati rangkaian sindiket yang menggaji 55 pekerja dengan upah RM50 hingga RM200 sehari itu beroperasi secara tersembunyi sejak 2022 hingga tahun ini.

Mereka dipercayai meraih keuntungan harian mencecah RM1,500 sehingga RM10,000.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusri berkata, seramai 745 anggota daripada 10 agensi penguatkuasaan digerakkan secara serentak di 13 negeri bagi memeriksa pasar raya, stor dan pusat penyembelihan yang disyaki terbabit.

“Seramai 161 individu diperiksa dan 96 daripada mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah 15 akta berbeza. Nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM2.44 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa rantaian pengedaran sindiket terbabit sudah diputuskan sepenuhnya dan pemantauan berterusan akan diperketat bersama agensi penguatkuasaan lain.

“Saya menyeru kepada masyarakat, jadilah mata dan telinga kami. Jika anda melihat premis penyembelihan yang mencurigakan dan beroperasi secara tersembunyi, laporkan kepada kami.

“Soal halal ini bukan soal satu agensi sahaja, ini adalah soal maruah umat Islam dan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN