GARA-GARA nama dan penampilan yang dikatakan mirip pasangan selebriti popular, pelakon Amirah Razak pernah disangka mempunyai pertalian darah dengan Mimi Lana dan Syafiq Kyle.
Amirah atau nama sebenarnya Nur Amirah Haisyah Abdul Razak, 27, bagaimana menegaskan, tanggapan tersebut jauh tersasar memandangkan dia langsung tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kedua-dua pelakon terbabit.
“Memang ada yang kata saya macam adik Mimi Lana. Malah dek kerana nama saya Amirah Razak, ada juga yang ingat saya adik kepada Syafiq Kyle.
“Tapi saya memang tiada kena-mengena pun dengan mereka berdua. Persamaan ini cuma secara kebetulan,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Baga: Esok Untuk Siapa, baru-baru ini.
Tiada kaitan kekeluargaan, namun dari sudut lain Amirah memang terkait rasmi dengan Syafiq Kyle, memandangkan Baga merupakan terbitan bersama pelakon itu bersama Syafiq Yusof selaku penerbit ekslusif.
“Walau tiada pertalian darah, mereka banyak menghulurkan bantuan dan berkongsi ilmu sebagai panduan untuk saya mengharungi dunia lakonan.
“Syafiq serta Mimi banyak membantu saya tentang bagaimana hendak bermula dalam industri ini. Mimi terutamanya, sangat baik.
“Terlalu banyak yang diajar kepada saya termasuk penghayatan karakter serta apa yang perlu dilakukan selepas ini,” ujarnya.
Terdahulu, nama Amirah mencuri perhatian selepas diberi peluang bergandingan dengan Amir Ahnaf menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa.
Selain Amirah, naskhah mengisahkan penagih dan pengedar dadah bernama Jani berlatarkan sebuah negeri indah di Pantai Timur iaitu Terengganu itu turut dibintangi aktor versatil, Wan Hanafi Su.
Mengulas lanjut mengenai emosi wanita hamil dalam karya berkenaan, Amirah berkata, dia melakukan kajian mendalam untuk mendalami watak itu menerusi tempoh latihan yang diberikan.
‘Saya tak pernah mengandung, jadi saya tak boleh nak ‘rasa’ keadaan atau emosi bakal ibu ketika hamil. Tetapi disebabkan ada latihan selama sebulan lebih, ada waktu untuk kaji karakter berkenaan.
“Sekecil-kecil perkara pun kita kaji bersama-sama. Bila dah tahu sikit-sikit, lama-lama saya makin memahami karakter Melur,” katanya.
Diterbitkan Indigo Films, Baga kini berlegar di sekitar pawagam tanah air sejak 5 November lalu.














