Nilai kiriman wang yang mencecah RM105 bilion pada 2025 menjadikan transformasi digital semakin penting. - Gambar hiasan

Kiriman wang cecah RM105 bilion pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nilai kiriman wang yang mencecah RM105 bilion pada 2025 menjadikan transformasi digital semakin penting bagi memastikan industri perniagaan perkhidmatan wang (MSB) kekal cekap, selamat dan berdaya saing.

Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) berkata, nilai transaksi itu meningkat kira-kira 30 peratus berbanding RM80.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Aktiviti pertukaran mata wang pula merekodkan transaksi bernilai RM67.9 bilion, manakala perniagaan mata wang secara borong mencatatkan RM34.3 bilion sepanjang 2025.

Angka itu memperlihatkan peranan besar industri MSB dalam memudahkan transaksi kewangan domestik dan antarabangsa, termasuk memenuhi keperluan perniagaan, perdagangan serta pekerja asing.

Presidennya, Datuk Seri Jajakhan Gani, berkata perkembangan teknologi kewangan memerlukan pengendali besar dan kecil bergerak bersama supaya tiada pihak ketinggalan dalam persekitaran yang semakin digital.

“Ketika kita bergerak ke arah persekitaran semakin digital, penting untuk industri ini maju bersama supaya pengendali besar dan kecil kekal berdaya saing,” katanya.

Wakil MAMSB.

Transformasi digital menjadi antara agenda utama Persidangan Utama Tahunan MAMSB 2026 bertemakan Transformasi Digital dan Pertumbuhan Mampan untuk MSB yang berlangsung di Sasana Kijang baru-baru ini.

Persidangan itu menghimpunkan pengendali perniagaan perkhidmatan wang, pakar industri dan penyedia teknologi bagi membincangkan perkembangan pasaran, cabaran kawal selia serta peluang penggunaan teknologi.

Bagi industri yang masih banyak bergantung pada urusan di kaunter, penggunaan sistem digital berpotensi menjadikan proses pertukaran mata wang dan kiriman wang lebih mudah, pantas serta cekap.

Bagaimanapun, pengendali kecil mungkin berdepan kekangan kos, tenaga kerja dan kepakaran untuk membangunkan sistem sendiri.

Justeru, penggunaan platform serta infrastruktur teknologi secara bersama menjadi antara pilihan yang boleh diterokai bagi mengurangkan kos pendigitalan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAMSB, Raman Krishnan, berkata persatuan itu bukan sekadar mewakili kepentingan industri, malah membantu ahli mengikuti perubahan peraturan, perkembangan teknologi dan jangkaan pengguna.

Antara teknologi yang diketengahkan ialah pendaftaran pelanggan secara digital, pengesahan identiti elektronik atau e-KYC, sistem pembayaran, saringan sekatan serta automasi proses pematuhan.

Penggunaan teknologi bagaimanapun perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab pengendali sebagai penyedia perkhidmatan kewangan berlesen, khususnya pematuhan terhadap Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

MAMSB turut melaksanakan program pembangunan keupayaan, termasuk Kumpulan Pegawai Pematuhan dan Program Pendidikan Pengarah Perniagaan Perkhidmatan Wang.

Program berkenaan merangkumi latihan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram, pengurusan risiko dan tadbir urus korporat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN