PASIR PUTEH – Taktik licik sekumpulan penyeludup menggunakan laluan sungai yang sempit dan cetek untuk meloloskan diri gagal apabila mereka terpaksa meninggalkan 120,000 batang rokok putih bernilai RM96,000 di tebing sungai Kampung Madat, Kota Bharu, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan berjaya mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan memasuki perairan negara dari negara jiran.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, pihaknya bertindak mengejar bot tersebut dari perairan Kuala Besar hingga ke Kuala Pak Amat.
“Bagaimanapun, bot pancung berkenaan berjaya meloloskan diri berikutan keadaan laluan sungai yang sempit serta cetek.
“Susulan itu, Pasukan operasi darat APMM telah digerakkan untuk melakukan pencarian di sekitar kawasan Sungai Raja Gali sebelum mengesan aktiviti mencurigakan di tebing sungai Kampung Madat kira-kira pukul 9.40 malam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua buah kenderaan iaitu pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV) bertindak memecut laju melarikan diri, manakala bot pancung terbabit terus memecut meninggalkan tebing sungai.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan tersebut pada pukul 9.45 malam berjaya menemui 12 bungkusan besar berwarna hijau gelap yang ditinggalkan. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bungkusan itu mengandungi kotak coklat berisi rokok putih disyaki tidak bercukai,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














