NEWCASTLE – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta terpaksa berpuas hati biarpun gagal meraih kemenangan selepas terikat 2-2 menentang Newcastle United di St James Park, awal pagi semalam.
Selain tidak mampu untuk meraih kemenangan keenam berturut-turut, Arteta juga resah tentang keadaan semasa penjaga gol utama, David Raya yang mengalami kecederaan bahu hingga terpaksa dikeluarkan sejurus Newcastle meledak jaringan kedua.
“Kami sudah berada di sini selama enam atau tujuh tahun dan ini adalah persembahan terbaik yang pernah kami pamerkan di gelanggang ini, malah sebelum ini kami pernah menang beberapa kali.
“Sepatutnya jurang perbezaan dalam perlawanan ini jauh lebih besar, tetapi ia tidak berlaku. Itulah kekecewaan yang sedang kami rasai bersama.
“Bukan saya seorang sahaja yang merasai kekecewaan, pemain juga merasai perkara sama dan sudah pasti inilah standard yang perlu kami kekalkan,” katanya.
Eberechi Eze terlebih dulu meletakkan Arsenal di depan, namun The Magpies memperoleh dua jaringan daripada Harvey Barnes dan Malick Thiaw sebelum Noni Madueke menyelamatkan The Gunners daripada kekalahan selepas menghasilkan gol penyamaan.
Walaupun membazirkan dua mata, The Gunners masih kekal di puncak liga dan Arteta kini sedang menanti hasil pemeriksaan penuh bagi mengenalpasti situasi sebenar dihadapi oleh Raya.
“Malangnya, dia terpaksa dikeluarkan dan itu bukan petanda yang baik. Dia akan menjalani pemeriksaan dan mungkin imbasan MRI esok untuk mengetahui keadaan sebenar kerana ketika ini saya sendiri belum pasti,” katanya. – AGENSI














