KEMENANGAN 2-1 ke atas Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, kelmarin memberi 1,001 makna buat Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) yang berjaya meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.
Pengendali pasukan, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pada awalnya dia hanya menyasarkan seri, namun segala usaha keras yang dilakukan pemain sedia ada nyata berbaloi ketika mereka masih berdepan sekatan perpindahan pemain.
“Mata yang begitu berharga dan berbaloi. Saya mengharapkan satu mata saja sebenarnya untuk perlawanan ini, jadi apabila dapat tiga mata, ia satu keputusan yang cukup menggembirakan.
“Harus diingat, kita sekarang sudah menjaringkan lapan gol, lebih daripada apa yang dilakukan oleh Terengganu dan Penang FC,” katanya.
Terdahulu, Jose Angel meletakkan Sabah FC di depan, namun sikap tidak putus asa pemain KRW FC nyata terbalas apabila memperoleh dua jaringan penting menerusi Rizuan Muda dan Emmanuel Mbarga.
Mengulas lanjut, Irfan Bakti mengakui dihimpit situasi gusar terutamanya setiap kali berdepan situasi bola mati The Rhinos memandangkan lawan itu memiliki pemain tinggi.
“Kalau dengan pasukan lawan, saya cukup takut sepakan percuma kerana ketinggian pemain mereka. Tetapi tidak kisahlah, saya katakan kepada pemain, kalau awak pendek sekali pun, cuba untuk lompat untuk cabar pemain mereka,” katanya.














