Tangkap layar kamera papan pemuka merakam BMW X6 yang melarikan diri dari sekatan jalan raya di Bukit Bintang, kelmarin.

[VIDEO] BMW X6 merah pecut lari ‘roadblock’ di Bukit Bintang diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR –  Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta mewah jenis BMW X6 berwarna merah yang bertindak memecut melarikan diri ketika anggota polis menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bukit Bintang, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 3.43 pagi pada 20 November lalu itu berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) sedang menjalankan operasi sekatan jalan raya di lokasi berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit pada mulanya berhenti di lokasi sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, katanya, pemandu berkenaan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis sebelum bertindak memecut dan meninggalkan lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut telah berhenti di lokasi sekatan jalan raya, namun tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis sebelum bertindak memecut dan meninggalkan lokasi kejadian.

“Semakan mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang pelanggaran atau kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Suffian, setakat ini identiti pemandu kenderaan terbabit masih belum dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967 dengan siasatan dikendalikan Pegawai Penyiasat JSPT Kuala Lumpur, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa.

Sehubungan itu, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999.

Maklumat juga boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa mengesan pemandu kenderaan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN