SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengesahkan menerima aduan berhubung kemunculan seekor harimau kumbang yang berkeliaran mencari makanan di Sendayan, di sini.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan siasatan di lokasi bagi mengesahkan mengenai dakwaan tersebut.
“Kita akan memasang kamera perangkap bagi mengenal pasti kehadiran haiwan liar itu di kawasan tersebut. Lokasi yang dikaitkan dengan aduan ini terletak 12 kilometer dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Galah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Wan Mat menasihatkan orang ramai agar berhati-hati sekiranya terserempak dengan haiwan tersebut dan tidak melakukan provokasi sebaliknya segera menghubungi Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial gambar seekor harimau kumbang didakwa tersesat keluar mencari makanan di sekitar Sendayan. – KOSMO! ONLINE














